Skip to main
Logo Malaysiakini

Dokumentari serangan harimau di kampung Orang Asli diterbit bulan depan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dokumentari pendek mengenai serangan harimau di perkampungan Orang Asli di Pos Bihai, kawasan Gua Musang, yang dibuat oleh NGO alam sekitar Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), akan dikeluarkan bulan depan.

Dokumentari selama 30 minit itu juga akan melihat kemungkinan punca serangan harimau, yang dikaitkan oleh penduduk kampung Orang Asli dengan penebangan hutan berhampiran yang memusnahkan habitat harimau.

Presiden Kuasa Hafizudin Nasarudin berkata mereka menemu bual lima penduduk kampung Orang Asli dari Pos Bihai. Dua daripada mereka telah kehilangan bapa mereka akibat serangan harimau, katanya.

“Mereka memberitahu kami kronologi serangan harimau. Terdapat beberapa serangan, sekitar enam atau tujuh, tetapi orang luar tidak mengetahuinya.

"Kami bertanya kepada mereka apa yang mereka fikir menyebabkan (serangan harimau) dan kebanyakan mereka mendakwa ia disebabkan oleh penebangan hutan," kata Hafizudin ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Kuasa semalam telah menyiarkan treler dua minit untuk dokumentari itu di laman Twitter mereka.

Penduduk kampung juga telah memberitahu Kuasa bahawa terdapat banyak konsesi pembalakan di kawasan sekitar mereka.

“Dalam bahasa Melayu, kita panggil ‘cuci mangkuk’, di mana mereka membersihkan semuanya dan mereka akan menanam semula dengan pokok getah untuk tujuan perladangan,” katanya.

Hafizudin berkata, penduduk kampung juga memberitahu mereka bahawa harimau selalu tinggal di kawasan itu tetapi biasanya takut kepada manusia dan akan secara aktif mengelak daripada penempatan manusia.

“Tetapi baru-baru ini, mereka keliru dengan perangai harimau yang berani masuk ke kampung malah mendekati rumah.

“Jadi salah seorang penduduk kampung (yang kami temu bual), katanya ada kawasan pergunungan berhampiran dengan banyak gua yang menjadi habitat harimau.

"(Orang kampung) kata mungkin kawasan itu telah diganggu, walaupun gunung itu sendiri masih utuh tetapi koridor hidupan liar (berhampiran gunung) mungkin telah dibalak," katanya.

Hafizudin berkata mereka kemudian merakam menggunakan dron kawasan pergunungan itu yang kelihatan menyokong dakwaan penduduk kampung itu.

Kampung Tendrik, yang merupakan salah sebuah kampung di Pos Bihai yang pernah mengalami serangan harimau baru-baru ini, hanya kira-kira 1.5km dari gunung itu, tambahnya.

Kuasa berhasrat untuk mengeluarkan video itu selepas cuti Tahun Baru Cina, kata Hafizudin, memandangkan dia masih memerlukan masa untuk menyusun dan menyunting rakaman yang mereka ada.

Dokumentari itu sendiri akan dibahagikan kepada beberapa bahagian, memfokuskan kepada kronologi serangan harimau, punca serangan terutamanya dakwaan aktiviti pembalakan dan pemburuan harimau di kawasan itu, serta penebangan untuk memberi laluan kepada ladang, katanya.

Mereka akan memberi tumpuan kepada projek ladang hutan khususnya, kerana Hafizudin berkata ini adalah punca utama kemusnahan hutan di Kelantan.

“Kita akan dedahkan sedikit tentang kelemahan dasar pengurusan hutan di Kelantan seperti (pihak berkuasa) mendakwa pembalakan itu mengikut kuota.

“Tetapi sebenarnya tidak. Clearfelling tiada kuota… ia adalah sejenis pembalakan yang tidak diiktiraf oleh Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC),” katanya.

Serangan harimau di Kelantan telah menjadi tumpuan selepas kejadian 7 Jan di Kampung Sau, berhampiran Pos Bihai, di mana seorang lelaki Orang Asli maut.

Selepas Orang Asli di kawasan itu m engaitkan serangan itu dengan penebangan hutan, Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Abdul Khalim Abu Samah dilaporkan berhujah sebaliknya.

Khalim berkata kawasan yang ditebang sebenarnya baik untuk harimau kerana ia menggalakkan pertumbuhan tumbuhan yang akan menggalakkan kehadiran lebih banyak mangsa untuk harimau.

Bagaimanapun, seorang pakar mengenai harimau sejak itu menegaskan bahawa penebangan hutan tidak baik untuk harimau, sambil menambah bahawa terdapat perbezaan antara penebangan hutan dan pembalakan terpilih.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah juga sejak itu mengakui kewujudan pembalakan haram di negeri itu tetapi menyifatkan isu itu sebagai "tidak serius".