Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | PH mengintai peluang, menempah risiko di Johor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Cadangan agar diwujudkan 'khemah besar' dalam kalangan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di Johor adalah satu usaha berkesan memastikan Umno dapat dikalahkan.

Ada beberapa faktor mengapa idea itu - kalau dijelmakan - boleh menjadi.

Antaranya, hakikat bahawa Johor bukanlah lagi merupakan negeri kubu kuat Umno sejak 10 tahun lalu. Faktor urbanisasi dan perubahan demografi negeri itu mengubak corak sokongan pengundi, terutama di jalur pantai Barat Johor hingga ke Johor Bahru.

Jajaran itu merupakan kawasan campuran yang mampu mengancam kedudukan Umno. Pada masa sama pengaruh Umno hanya masih utuh di kawasan pantai Timur Johor, kawasan luar bandar dan petempatan Felda.

Ini dibuktikan daripada keputusan PRU ke-14 apabila undi parti dalam PH dan Bersatu mengatasi Umno-BN.

Kerjasama dalam 'khemah besar' itu akan menyatukan undi pembangkang.

Dalam PRN Melaka pada Nov tahun lalu, undi pembangkang berpecah ketika sokongan undi popular yang diterima Umno-BN hanyalah kira-kira 35 peratus saja. Selain itu keputusan PRN tersebut juga menunjukkan tiada peningkatan undi yang ketara berbanding semasa PRU ke-14.

Kelebihan di kawasan luar bandar 

Namun, perlu diakui bahawa, walaupun wujud gesaan agar pembangkang bekerjasama, tetapi matlamat dan keberkesanannya masih kabur kerana di sana tetap wujud perbezaan pandangan.

Antara kegagalan persefahaman ditunjukkan mereka ialah persetujuan isu penggunanan logo dalam kalangan komponen PH sendiri.

Pada masa sama saya melihat pendekatan kerjasama pembangkang secara menyeluruh pasti akan berupaya menyekat kemaraan Umno. Apatah lagi jika ia turut melibatkan Bersatu dan PAS sebagaimana yang dicadangkan sesetengah pihak.

Kelebihan yang ada pada Umno ialah penguasaan pengaruh dan sokongan di kawasan luar bandar dan Felda. Parti itu mempunyai 'simpanan tetap' yang besar dalam kalangan pengundi terbabit.

Namun di kawasan separa bandar dan bandar, pembangkang mempunyai kelebihan besar.

Ketika ini juga perlu diakui wujud beberapa isu yang tidak kondusif untuk kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob yang dilihat rakyat sebagai kerajaan Umno-BN.

Isu seperti pengurusan bencana banjir besar, skandal saham Azam Baki dan kenaikan harga barang membayangi kerajaan yang ada sekarang.

Pembangkang pula nampaknya berjaya mewujudkan gelombang kecil melalui isu-isu semasa seperti yang dinyatakan di atas.

Ia adalah langkah yang menyasarkan kelmahan kerajaan Umno-BN pimpinan Ismail Sabri.

Sementara itu keputusan PKR menggunakan logo sendiri manakala DAP dan Amanah menggunakan logo PH itu mungkin satu strategi yang disengajakan.

Pun begitu jika ia benar, PH berdepan dengan risiko.

Hantar isyarat yang salah

Langkah berkenaan boleh menimbulkan persepsi bahawa PKR dan rakan parti itu dalam PH kini sudah tidak sehaluan.

Ketika ini sangat penting untuk PH meyakinkan orang ramai bahawa mereka tetap suatu gabungan yang sepakat dan kekal bergerak seiringan. 

Mazlan Ali

Hal itu kerana mutakhir ini, rakyat - yang sudah jemu dengan krisis politik berpanjangan sejak dua tahun lalu - cenderung melihat kepada parti yang mampu membawa kestabilan dalam kerajaan.

Perlu diingat, antara sebab BN menang di Melaka dan Gabungan Parti Sarawak di Sarawak dalam PRN sebelum ini adalah disebabkan faktor "kestabilan" itulah.

Pengundi melihat parti-parti terbabit mempunyai rekod yang baik mewujudkan kestabilan.

Di Johor, faktor kemampuan mewujudkan kestabilan mungkin menjadi pilihan rakyat. 

Mana-mana gabungan yang dilihat tidak sehaluan dari awal mungkin menghantar isyarat kepada rakyat bahawa mereka bakal berpecah.

Itu bermakna jika mereka menjadi kerajaan pun, kerajaannya tidak stabil.


MAZLAN ALI ialah penganalisis politik dan pensyarah kanan Sekolah Perdana di Universiti Teknologi Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.