Saifuddin: PH kekal kukuh walau guna logo berbeza
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menegaskan bahawa PH kekal kukuh walaupun penggunaan logo berbeza dalam PRN Johor akan datang.
Saifuddin menyuarakan keyakinan bahawa kerjasama politik antara PKR, DAP dan Amanah akan terus kukuh.
Ia selepas PKR memutuskan untuk menggunakan logo sendiri manakala DAP dan Amanah menggunakan logo gabungan itu.
Dia berkata ia dapat dilihat apabila ketiga-tiga parti setuju untuk menggerakkan kempen secara bersama dan menerusi gesaan untuk SOP PRN Johor dilonggarkan agar kempen secara ceramah bersemuka dibenarkan.
"Ramai yang lupa PKR, DAP dan kepimpinan Amanah yang waktu itu di dalam PAS mempunyai sejarah kerjasama panjang sejak PRU 1999 hingga PRU 2018 dengan bergabung dalam pelbagai bentuk, iaitu Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan.
"Biarpun nama gabungan berbeza namun pimpinan PKR, DAP dan Amanah yang bersama pada hari ini adalah watak-watak sama yang mengharungi pelbagai ujian politik.
"Saya penuh yakin PH akan terus 'compact' dan penggunaan logo berlainan tidak akan memadam kerjasama politik PKR, DAP dan Amanah bahkan terus kukuh," katanya kepada Malaysiakini.
Saifuddin berkata demikian ketika diminta keputusan PKR untuk menggunakan logo parti berbanding logo PH dalam PRN tersebut.
Hari ini Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyaaan bersama berkata mereka akan terus bekerjasama dengan PKR serta pembangkang lain, termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Berkenaan isu logo, walaupun Mohamad dan Lim berkata menghormati keputusan PKR, mereka berkata keputusan untuk menggunakan logo PH adalah tanda perpaduan yang mencerminkan iltizam dan aspirasi untuk membentuk kerajaan melalui gabungan yang bersatu padu.
"Sebagai satu gabungan, sudah tentu Amanah dan DAP inginkan semua parti gabungan bersatu di bawah satu lambang bersama yang berpegang kepada matlamat bersama dan agenda politik bersama.
"Kedua-dua Amanah dan DAP berpendapat bahawa parti-parti komponen serta parti-parti sahabat perlu duduk bersama, sama ada sewaktu senang atau sewaktu susah," kata mereka.
Saifuddin berkata PKR membuat keputusan itu dengan cara menghormati proses membuat keputusan dalam PH.
"Cadangan PKR untuk guna logo sendiri dibentang dalam mesyuarat semalam, dibincang dan dipersetujui oleh majlis presiden.
"Ini tanda PKR menghormati proses membuat keputusan dalam PH. DAP, Amanah dan PKR dalam mesyuarat PH semalam juga menegaskan komitmen kerjasama dalam pilihan raya Johor," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai