Skip to main
Logo Malaysiakini

Perut ikan, spesies gamat terancam dijual di atas talian

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Spesies terancam gamat diiklankan untuk dijual di laman web dan platform e-dagang di Malaysia dan Singapura, menurut laporan NGO perdagangan hidupan liar yang berpangkalan di United kingdom.

Iklan untuk perut ikan bagi spesies terancam juga ditemui.

NGO itu, Traffic, membuat tinjauan terhadap 34 laman web di Malaysia dan Singapura selama 11 hari pada Jun-Julai 2020.

Laman web yang dipantau itu termasuk platform e-dagang utama seperti Shopee, Lazada dan Carousell serta laman web perniagaan makanan laut.

Penyelidik, Elliot James Ong dan Chin Suk Teng menemui 21 hantaran pengiklanan berkaitan spesies gamat yang disenaraikan sebagai "terancam" oleh Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (Cites).

Tiga spesies dalam senarai Cites ialah: Holothuria fuscogilva, Holothuria nobilis dan Holothuria whitmaei.

“Ketiga-tiga spesies ini juga dilindungi di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam Malaysia 2008 dan Akta Spesies Terancam (Import dan Eksport) Singapura 2006,” menurut laporan itu.

Turut direkodkan ialah enam spesies gamat yang ditetapkan sebagai "terancam" dalam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN). Lima spesies lain yang diiklankan dikenal pasti oleh IUCN sebagai "terdedah kepada bahaya“.

 Bagi perut ikan, tinjauan Traffic mendapati iklan IUCN bagi “terancam secara kritikal" merupakan ikan Arowana (Larimichthyes crocea) dan ikan Sturgeon (Acipemseridae).

Ikan Sturgeon juga berada dalam senarai Cites serta dilindungi bawah undang-undang Malaysia dan Singapura.

Ia juga menemui perut ikan dari spesies yang “terancam" - patin (Pangasionodon hypophthalamus) dan perut ikan kerapu Atlantik Goliath (Epinephelus itajara) yang "terdedah kepada bahaya“ yang diiklankan untuk dijual.

Cadang analisis DNA

Menurut laporan Traffic, iklan untuk gamat semakin meluas dan tidak terhad kepada makanan laut, tetapi juga penjagaan kulit dan produk kesihatan.

“Jenama (itu) mendakwa menggunakan ekstrak gamat daripada Stichopus hermanni (dalam senarai ‘terdedah kepada bahaya’ dalam IUCN) walaupun ini mungkin merupakan campuran bersmaa Stichopus hermanni dan Stichopus horrens.

"Walaupun jumlah sebenar gamat yang terdapat dalam produk kesihatan dan penjagaan kulit ini tidak jelas, penuaian berlebihan Stichopus hermanni telah dilaporkan menyebabkan penurunan populasi di Malaysia," baca laporan itu.

Dengan pengiklanan jualan spesies gamat dan ikan yang terancam dalam talian, laporan itu menggesa pihak berkuasa Malaysia dan Singapura untuk memberi perhatian lebih kepada perdagangan itu.

“(Ini) memerlukan pemantauan rapi dalam perdagangan dalam memastikan pematuhan ketat berdasarkan peraturan negara dan Cites,” katanya.

Trafik seterusnya mencadangkan agar pihak berkuasa menjalankan analisis DNA untuk mengenal pasti sama ada spesies terancam dijual.

“Analisis DNA daripada sampel produk yang ditawarkan dalam talian dan di pasaran secara fizikal akan membolehkan pengecaman spesies yang lebih baik dalam (aktiviti) perdagangan,” katanya.

[Baca berita asal]