Saya tiada kedudukan undang-undang untuk kawal 1MDB - Jho Low
Ahli perniagaan, Low Taek Jho menegaskan dia tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk mengawal 1MDB dan empat anak syarikatnya.
Individu dikenali sebagai Jho Low itu berkata demikian menerusi pernyataan pembelaan bahawa dia tidak memegang jawatan rasmi dalam dana kekayaan negara itu mahupun empat anak syarikatnya.
Dokumen mahkamah itu adalah tindak balas terhadap saman sivil yang dikemukakan oleh 1MDB dan empat anak syarikat berhubung dakwaan manipulasi pihak ketiga yang membawa kepada penyelewengan berbilion ringgit.
Peguam Jho Low dari firma guaman Valen, Oh & Partners, memfailkan pernyataan pembelaan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua hari lalu (26 Jan).
Jho Low antara individu dan entiti yang menjadi sasaran 22 saman sivil oleh 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International pada tahun lepas.
Saman sivil itu menamakan mereka yang didakwa menipu dua entiti milik kerajaan itu, sama ada secara sedar atau tidak.
Salah satu saman sivil itu menyasarkan Jho Low dan lima defendan lain - bapa dan ibunya Low Hock Peng dan Goh Gaik Ewe, kakak Jho Low, May Lin, adik lelakinya Taek Szen, dan individu yang didakwa rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong.
'Saman sepatutnya digugurkan'
Empat anak syarikat lain ialah 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy (Langat) Ltd dan Global Diversified Investment Company Ltd, yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Ltd.
Menurut pernyataan pembelaan yang dilihat oleh Malaysiakini, Jho Low mendakwa bahawa tuntutan mahkamah itu sepatutnya digugurkan kerana ia gagal mendedahkan sebab tindakan yang munasabah terhadap dakwaan pecah amanah atau kewajipan fidusiari.
Ahli perniagaan itu menegaskan bahawa dia tidak pernah menjadi pengarah atau pemegang saham dalam 1MDB atau empat anak syarikatnya, dan juga bukan ahli lembaga penasihat plaintif pertama atau sebahagian daripada pengurusan mana-mana plaintif.
“Oleh itu, defendan pertama (Jho Low) tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk menjalankan kawalan ke atas plaintif, termasuk tetapi tidak terhad kepada mengarahkan atau sebaliknya menyebabkan pemindahan dan/atau penerimaan dana yang dikatakan,” kata Jho Low.
Dalam kes mahkamah berasingan terhadap Najib Razak berhubung kes 1MDB dan SRC, pasukan peguam pembela bekas perdana menteri itu berhujah bahawa tertuduh tidak mengetahui sebarang salah laku, dan sebarang kesalahan didalangi oleh Jho Low dan beberapa individu lain.
Sementara itu menerusi pernyataan pembelaan, Jho Low berhujah bahawa saman 1MDB terhadapnya adalah tidak wajar kerana Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) telah pun mencapai "persetujuan global dan komprehensif" dengannya berhubung saman sivil DOJ berkaitan 1MDB terhadapnya.
Dan emnruut ketetapan bersama yang dipersetujui bersama di antara dia dan DOJ itu "tidak merupakan pengakuan bersalah, kesalahan, liabiliti dan/atau sebarang bentuk kesalahan sekali pun".
Ahli perniagaan itu mendakwa saman sivil yang difailkan 1MDB terhadapnya bergantung sepenuhnya kepada pemfailan DoJ sebagai asas kepada dakwaan tersebut, dan mendakwa dana kekayaan negara itu mengabaikan penyelesaian global dan komprehensif di antara DOJ dan pihaknya.
Jho Low berhujah bahawa penyelesaian komprehensif antara dia dan DOJ membawa kepada pelucutan dan pemulangan aset secara sukarela untuk kepentingan utama kerajaan Malaysia dan juga untuk kepentingan plaintif.
1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), yang menjadikan ia dimiliki oleh kerajaan Malaysia.
“Plaintif-planitif dalam guaman di sini adalah dimiliki oleh kerajaan Malaysia melalui Menteri Kewangan (Diperbadankan). Secara nyatanya, kerajaan Malaysia adalah penggerak utama di dalam guaman ini terhadap defendan-defendan yang dinamakan di sini.
“Lanjutan kepada di atas, tuntutan-tuntutan plaintif-plaintif adalah bersamaan dengan satu tuntutan berganda ke atas aset-aset yang telah dipulangkan, dan tidak seharusnya dianggap sebagai jumlah yang boleh dilucuthakan,” dakwa Jho Low.
Antara 2019 dan tahun lepas, dilaporkan bahawa DOJ AS telah memulangkan berbilion ringgit dalam aset 1MDB kepada Malaysia.
Semakan pada senarai kausa dalam talian menunjukkan bahawa saman 1MDB terhadap Jho Low dan lima defendan lain ditetapkan untuk pengurusan kes secara dalam talian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Feb.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai