Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah Rayuan putuskan tanah milik SJK (T) Vivekananda

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 26 Jan lalu memutuskan tanah Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Vivekananda, Petaling Jaya dikembalikan atas nama sekolah berkenaan selepas meneliti rayuan oleh Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Ia selepas tanah sekolah seluas tiga ekar itu dipindah milik kepada sebuah syarikat berstatus berhad, yang dikenali sebagai The Vivekananda Ashrama Kuala Lumpur (Ashrama) pada tahun 2014.

Perkara itu dimaklumkan oleh pengerusi LPS sekolah berkenaan, Dr Selvam Chellapan hari ini.

"Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan kes mengenai hak pindah milik tanah yang telah dikemukakan oleh LPS daripada The Vivekananda Ashrama Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media yang diadakan di kantin sekolah berkenaan.

Pada tahun 1959, permohonan pemberimilikan hak milik tanah seluas tiga ekar kepada SJKT Vivekananda di Seksyen 8, Petaling Jaya telah diluluskan oleh kerajaan negeri di bawah pajakan selama 60 tahun.

Hakmilik tanah ini telah didaftarkan di atas nama sekolah tersebut pada 19 Mei 2004 dan pajakan tanah telah dilanjutkan sehingga 18 Mei 2064.

Pada 2013, pemegang amanah untuk tanah tersebut telah memindah hak milik tanah berkenaan kepada Ashrama.

Susulan itu pada 2018, pihak LPS dan PIBG yang dipilih pada tahun 2016 telah memfailkan kes litigasi awam ke atas Ashrama, pemegang-pemegang amanah dan Pendaftar Hakmilik Negeri Selangor.

Sekolah berkenaan juga menuntut Vivekananda Ashrama mengembalikan peruntukkan dana RM2 juta daripada RM6 juta yang diberikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM) kepada sekolah itu.

"Pada 15 Julai 2020, Mahkamah Tinggi telah menolak tuntutan mereka namun memutuskan Surat Ikatan Amanah yang telah diguna pakai untuk hak pindah milik tanah (kepada Ashrama) telah terbatal," kata Dr Selvam.

Berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, hakmilik tanah kini ditukarkan semula ke atas nama sekolah tersebut yang menempatkan seramai 680 murid.

Bagaimanapun mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan agar peruntukan RM2 juta dikembalikan kepada sekolah berkenaan.

Hakim-hakim yang telah memberi keputusan tersebut ialah Ravinthran Paramaguru, Nordin Hassan dan Mariana Yahya.

LPS dan PIBG sekolah berkenaan diwakili Peguam GK Ganesan, B Thinagaran, KN Geetha dan JD Prabh, manakala The Vivekananda Ashrama Kuala Lumpur diwakili Ambiga Sreenevasan.

"Kami harap tiada lagi rayuan di mahkamah persekutuan selepas ini daripada pihak syarikat itu.

"Yang penting adalah kebajikan murid dan masa depan sekolah," kata Selvam.