Skip to main
Logo Malaysiakini

Kit Siang: MoU kerajaan-PH bantu tangani situasi pandemik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mendakwa memorandum persefahaman (MoU) Putrajaya-Pakatan Harapan (PH) membantu memperlahankan jumlah kes dan kematian Covid-19.

Dia berkata keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya MoU itu tidak ditandatangani September lalu.

“Sungguh menggembirakan apabila melihat sejak menandatangani MoU pada 13 September tahun lalu... angka kematian harian berada dalam angka dua digit sejak tiga bulan lalu dan turun naik antara 9 hingga 31 kematian harian pada Januari 2022.

“Jika bukan kerana MoU, kita mungkin telah menamatkan 2021 dengan lima hingga 10 juta (jumlah) kes Covid-19 dan 100,000 – 200,000 (jumlah) kematian Covid-19 berbanding 2.75 juta kes Covid-19 dan 31,500 kematian Covid-19 pada 31 Dis 2021," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim menyorot bahawa sebelum MoU itu ditandatangani jumlah kematian Covid-19 yang baru dilaporkan pada 11 Sept ialah 592.

Sejak Sabtu lalu, jumlah kematian Covid-19 yang baru dilaporkan berada di bawah paras 20 setiap hari.

Kenyataan Lim itu berbeza dengan kenyataannya sebulan lalu pada 31 Dis.

Ketika itu, dia menyorot bagaimana Malaysia mempunyai 20 kali ganda jumlah kes Covid-19 daripada Indonesia dari 1 Dis hingga 30 Dis, dan empat kali ganda jumlah kematian Covid-19.

“Malaysia berada di kedudukan 27 dan Indonesia berada di kedudukan 45 dalam Indeks Keselamatan Kesihatan Global 2021 (GHS) yang mengukur kapasiti 195 negara untuk bersiap sedia menghadapi epidemik dan pandemik.

"Mengapa Malaysia jatuh begitu teruk dalam tindak balas terhadap wabak Covid-19?" katanya sebelum ini.

Bagaimanapun, dia menyatakan pada 31 Dis, dia menyokong MoU itu bagi mengelak peningkatan mendadak kes Covid-19.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, dia mempersoalkan sama ada Malaysia mengalami krisis baru Covid-19 dan hilang kawalan terhadap keadaan itu.

Bagaimanapun, dia berkata masih terlalu awal untuk mendapat gambaran sebenar.

Ini kerana jumlah kes harian menunjukkan peningkatan semula baru-baru ini

Jumlah kes hari ini (5,522) adalah tertinggi sejak 3 Dis tahun lepas.

Ia juga merupakan hari kedua berturut-turut dengan kes melebihi paras 5,000.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pada hari Rabu bahawa kes dijangka meningkat apabila gelombang Omicron melanda Malaysia.

Khairy bagaimanapun optimis bahawa vaksin dan dos penggalak akan membantu mengekalkan keadaan terkawal.

Sehingga Selasa, negara telah mengesan 601 kes varian Omicron Covid-19 secara keseluruhan.

Daripada jumlah ini, 90 peratus atau 545 kes diimport.

Bagaimanapun, terdapat 56 kes penularan tempatan, 34 daripadanya dilaporkan di Sarawak, dan 12 di Selangor.

Kes penularan tempatan juga dilaporkan di Kedah (4), Labuan (4), dan Sabah (2).