Skip to main
Logo Malaysiakini

Aktivis rayu batal kelulusan projek PDF Lynas di Gebeng

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kumpulan aktivis alam sekitar memfailkan rayuan berhubung kelulusan bagi projek membina kemudahan pelupusan tetap (PDF) Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng.

Ini selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) meluluskan permohonan firma yang dikaitkan dengan kerabat raja untuk membina PDF bagi menempatkan residu Water Leach Purification (WLP) pada 28 Dis lalu.

Enam perayu berkenaan ialah Penyelaras PKR Semambu, Chan Chun Kuang; Pengurus hal ehwal parlimen PKR Indera Mahkota, Zuraidi Ismail; Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet dan tiga ahli SMSL, termasuk Chan Kam Seon, Lim Foo Yew dan Feini Tuang.

Tan hari ini memberitahu Malaysiakini bahawa peguam kumpulan itu telah menyerahkan notis rayuan kepada lembaga rayuan JAS pada Khamis (27 Jan).

SMSL akan mengemukakan alasan rayuannya bulan depan dan menjemput pakar alam sekitar untuk menyokong rayuannya, kata Tan.

"Jika kami gagal, kami akan mempertimbangkan untuk memohon semakan kehakiman daripada mahkamah," katanya.

Dia mendedahkan salah satu alasan rayuan mereka ialah projek PDF itu tidak mendapatkan nasihat daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) justeru ia telah melanggar Seksyen 20(B) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Tan menambah bahawa SMSL telah memaklumkan kepada Lynas mengenai keputusan rayuannya.

Dia memberi amaran kepada Lynas supaya tidak memulakan pembinaan PDF sebelum ada sebarang keputusan daripada lembaga rayuan.

“Kami tidak akan bertanggungjawab ke atas kerugian (Lynas) jika ia sengaja memulakan pembinaan PDF sebelum mendapat sebarang keputusan daripada lembaga rayuan,” katanya.

Pada Disember lalu, JAS meluluskan permohonan yang dikemukakan oleh Gading Senggara Sdn Bhd (GSSB), sebuah firma yang dimiliki oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

[Baca berita asal]