Skip to main
Logo Malaysiakini

5 kematian Covid-19, paling rendah dalam 9 bulan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan melaporkan lima kematian baru Covid-19 semalam (29 Jan), menjadikan jumlah kumulatif kematian kepada 31,957.

Ini kes kematian terendah yang dilaporkan dalam 284 hari, sejak 20 April 2021.

Daripada kematian yang baru dilaporkan semalam, 60 peratus atau tiga orang meninggal dunia sebelum mereka menerima rawatan di hospital.

Kelantan, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, dan Selangor masing-masing mencatatkan satu kematian.

Tiada kematian baru dilaporkan di Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Terengganu, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Semua lima kematian yang dilaporkan berlaku dalam tujuh hari yang lalu.

Purata 16 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam 30 hari terakhir berbanding purata 11 kematian dalam tujuh hari lalu, menunjukkan aliran menurun.

Sehingga kini, 759 kematian Covid-19 telah dilaporkan pada bulan ini.

Sebanyak 1,174 kematian Covid-19 dilaporkan pada Disember 2021, 1,612 pada November 2021, 2,704 pada Oktober 2021, dan 9,678 pada September 2021.

Setakat semalam, terdapat 51,397 kes aktif Covid-19. Ini peningkatan sebanyak 16.6 peratus daripada 44,087 jangkitan aktif seminggu lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif meningkat sebanyak 23.4 peratus daripada 41,661.