Skip to main
Logo Malaysiakini

'Umno tak tawar habuan kepada 2 bekas Adun Bersatu'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Umno tidak menawarkan sebarang habuan atau ganjaran kepada dua bekas Adun Bersatu di Johor yang bertindak keluar daripada parti itu, kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Ahmad yang juga ahli Parlimen Pontian berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan daripada kedua-dua individu berkenaan yang juga merupakan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor untuk menyertai Umno.

“Tidak ada sebarang habuan yang dijanjikan, mereka dengan sukarela dan suci hati keluar daripada Bersatu tanpa kami janjikan apa-apa, itu adalah kehendak mereka sendiri.

Bagaimanapun, atas sokongan mereka kepada menteri besar (Hasni Mohammad) dan BN kami ucapkan terima kasih,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir Presiden Makkal Sakti RS Thanenthiran.

Ahmad berkata demikian ketika ditanya sama ada dua bekas Adun Bersatu berkenaan ada membuat permohonan untuk menyertai Umno atau sebaliknya selepas mereka mengumumkan keluar daripada parti.

Pada Khamis lepas, bekas Adun Puteri Wangsa Mazlan Bujang (gambar) yang juga pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua Bersatu Tebrau dan keluar parti, berkuat kuasa serta-merta.

Semalam, bekas Adun Larkin Mohd Izhar Ahmad yang juga pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas mengenai PAS dan Bersatu akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai Perikatan Nasional (PN), Ahmad berkata perkara itu bukan sesuatu yang memeranjatkan dan ia sudah dijangka.

“Kelihatan mereka ingin mengulangi apa yang berlaku di Melaka, jadi dalam dinamika politik, kita memang bersedia menghadapi segala kemungkinan. Sebelum ini kita tidaklah kata kerjasama Muafakat Nasional (MN) sudah muktamad, tetapi apabila semalam PAS bersama Bersatu dalam PN, saya tidak nampak ruang (kerjasama).

“Mereka (PAS) sebenarnya yang memulakan langkah itu. Saya pernah menyebut bahawa belum ada muktamad kita dengan PAS sebelum-sebelum ini, tapi kelihatannya mereka yang memuktamadkan bukan daripada pihak kita. Apa-apa pun kita kena terus gigih berusaha dan jangan terlampau yakin,” katanya.

Semalam, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin selepas Program Muzakarah PAS Bersatu 2022 mengumumkan PAS dan Bersatu akan menyertai PRN Johor sebagai PN dan kesemua parti komponen juga akan menggunakan logo PN pada pilihan raya itu.

-Bernama