Skip to main
Logo Malaysiakini

18 hari hilang, pencarian kanak-kanak Orang Asli Jahai diteruskan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kamilia Anap (atau dikenali sebagai Ayeng) berusia sembilan tahun masih belum ditemui selepas hilang pada 13 Jan di sekitar Sealor, timur Hutan Simpan Temenggor di Perak.

Dalam catatan Facebook pada 28 Jan, Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) melaporkan bahawa masih tiada tanda kanak-kanak itu walaupun pelbagai pihak mencari telah dihantar untuknya.

“Sepasukan empat orang daripada NGO Panthera yang berpangkalan di Terengganu menjalankan pencarian dari 22 hingga 26 Jan. Mereka disertai oleh 3 Orang Asli Temiar dari rangkaian perkampungan Orang Asli di Kelantan (JKOAK).

“Mereka meliputi kawasan yang tidak dicari oleh pasukan terdahulu secara sistematik dan profesional.

"Bagaimanapun, usaha itu tidak memberi hasil tanda atau petunjuk kehadiran Ayeng," kata pengasas COAC Colin Nicholas di Facebook.

Satu rombongan mencari rasmi - termasuk anggota dari Jabatan Bomba & Penyelamat, polis, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Agama dan Tabung Alam Sedunia (WWF) - telah dijalankan selama lima hari sebelum berakhir pada 19 Jan dengan tiada tanda kanak-kanak itu.

Walaupun begitu, anggota masyarakat dari kampung Selaor dan Jambatan Dua akan meneruskan pencarian.

Colin menambah, cuaca kering dan panas sejak dua minggu lalu menyukarkan pencarian.

“Ini menghalang jejaknya (dan bau) daripada dipelihara. Tambahan pula, bilangan pencari yang ramai pada masa awal juga telah 'memusnahkan' sebarang tanda-tanda dirinya yang mungkin berada di sana lebih awal.

“Pencarian fizikal telah banyak dikurangkan. Namun begitu, di sebalik keadaan itu, masih ada keyakinan bahawa Ayeng masih hidup,” katanya.

Memetik kes orang hilang sebelum ini yang berlaku di dalam hutan, Colin menyatakan bahawa walaupun beberapa cabaran dihadapi dalam pencarian, masih ada harapan, dengan pihak pencarian menggunakan taktik yang lebih baru.

"Dalam kes Ayeng, bagaimanapun, gangguan pendengaran dan mentalnya tidak memihak kepadanya.

"Kita kini guna cara yang lebih rohani untuk mencarinya," katanya.

Penduduk kampung Jahai di Kampung Selaor - yang menempatkan 25 keluarga - kini berusaha sedaya upaya untuk mengesan Ayeng.

Pada 13 Jan, Ayeng tidak pulang rumah selepas mengikuti kumpulan pengutip rotan. Usaha mencari dilakukan serta-merta pada petang kehilangannya.

Laporan orang hilang dibuat pada Jumaat (14 Jan) dan satu lagi kumpulan pencari kemudian dihantar untuk mencari Ayeng.

Rotan merupakan sumber mata pencarian utama penduduk kampung itu. Tok Batin Asok berkata, pandemik Covid-19 menyukarkan pengumpulan dan penjualan rotan.

“Walaupun kami sudah mula menjana wang, anak kecil ini telah hilang jadi semua tenaga kami tercurah untuk mencarinya.

“Kami tidak sedap hati (mencari rotan) kerana kami tidak tahu nasib anak kecil itu,” katanya dipetik sebagai berkata.

Menurut Asok, Kampung Sealor kini bergantung kepada sumbangan orang ramai dan menjual sayur-sayuran serta rotan untuk mendapatkan pendapatan.