MTUC: Tunggu kenaikan gaji minimum, tapi tarif elektrik bukan domestik dinaikkan
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Baharin Mansor menggesa kerajaan menaikkan gaji minimum, dengan mengatakan bahawa tarikh akhir telah berlalu.
"MTUC menggesa kerajaan untuk menaikan gaji minimum yang sepatutnya berlaku pada 1 Jan 2022 selaras dengan Akta Gaji Minimum yang memerlukan kajian dibuat sekali dalam dua tahun. Kenaikan terakhir berlaku pada 1 Jan 2020.
"MTUC menunggu pengumuman kerajaan berkaitan dengan kenaikan gaji minimum yang baru tetapi telah dikejutkan dengan pengumuman kenaikan tarif elektrik kepada penguna bukan domestik yang diumumkan," kata Kamarul dalam satu kenyataan media hari ini.
Bulan lalu dia menggesa kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 dan elaun sara hidup minimum bulanan kepada RM300 untuk semua pekerja pada 2022
"Kenaikan tarif elektrik kepada pengguna bukan domestik kerana dikenakan surcaj akan memberi kesan terhadap kenaikan barangan lain.
"Pihak industri akan memindahkan kos kenaikan tarif kepada pengguna dan akhirnya pengguna akan terjejas," tambahnya.
Katanya, kenaikan gaji minimum dan kenaikan tarif elektrik memberikan kesan dan impak kepada golongan pekerja.
"Bagaimana kerajaan dapat mengekang kenaikan barangan yang akan datang sedangkan barangan kawalan seperti minyak masak telah dijual melebihi harga kawalan," katanya.
Kamarul memetik laporan gaji pekerja pembersihan di Singapura yang mencecah RM10,000 yang boleh dijadikan panduan kepada kerajaan mengkaji kaedah gaji minimum di Malaysia.
"MTUC akan berhubung dengan Kesatuan di Singapura bagi mendapatkan penjelasan dan kaedah yang terbaik dalam perlaksanaan gaji minimum yang baru," katanya.
Tambahnya, MTUC juga prihatin dengan keadaan isu pekerjaan semasa.
"Selain daripada isu gaji minimum yang masih tertangguh, kerajaan perlu mengambil langkah yang proaktif dalam isu buruh paksa, pindaan Akta Kerja, Akta Perhubungan Perusahaan, Akta Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Mesyuarat Majlis Tindakan Buruh Kebangsaan (NLAC) yang tidak diadakan semenjak setahun yang lalu dan beberapa isu lain yang tertunggak.
"MTUC telah menghantar surat untuk mengadakan perjumpaan dengan perdana menteri dan bersedia untuk berbincang dan mendengar nasihat daripada perdana menteri untuk kebaikan Keluarga Malaysia," kata Kamarul
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai