Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemberi maklumat isu Azam Baki beri keterangan pada polis Khamis ini

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemberi maklumat isu pemilikan saman Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, Lalitha Kunaratnam dipanggil Bukit Aman pada Khamis ini berhubung dua artikel yang ditulisnya berhubung perkara itu.

“Saya telah dipanggil untuk ke Bukit Aman pada 2.30 petang Khamis ini, bagi memberi keterangan berhubung dua artikel saya bertajuk  ‘Business ties among MACC leadership: How deep does it go?’,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Dia kemudian mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini

Ditanya jika dia telah menjangkakannya, dia berkata: “Dari satu sisi, ya. SPRM mbuat laporan terhadap saya pada 7 Januari, selepas saya terima surat tuntutan pada 6 Januari.”

Malaysiakini telah menghubungi Bukit Aman untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Terdahulu, Lalitha secara rasmi membalas saman fitnah yang difailkan Azam berhubung isu pemilikan saham di dua syarikat tersenarai awam.

Peguam aktivis itu memfailkan memorandum kehadiran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Januari lalu.

Menurut salinan dokumen itu yang difailkan Malaysiakini, peguam dari firma Ibrahim & Fuaadah membuat pemfailan bagi pihak Lalitha.

Di bawah undang-undang sivil Malaysia, pemfailan memorandum kehadiran bermakna defendan berhasrat menjawab saman terhadapnya, antaranya dengan memfailkan pernyataan pembelaan nanti.

Ketika dihubungi hari ini, wakil daripada firma guaman itu mengesahkan pemfailan dibuat.

Pengurusan kes bagi saman yang difailkan Azam akan dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Februari ini.

Azam memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi.

Terdahulu, dia mengeluarkan surat tuntutan terhadap Lalitha menerusi peguamnya, dengan menuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM10 juta.

Lalitha bagaimanapun mempertahankan laporannya dan mengkritik apa yang disifatkan sebagai usaha SPRM melibatkan polis untuk menyiasatnya.

Azam mengundang perhatian berhubung pemilikan 1,930,000 unit saham Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015, yang bernilai RM772,000 pada masa itu.

Pegangannya kemudian berkurang kepada 1,029,500 unit setakat 31 Mac 2016 (bernilai RM340,000 pada masa itu).

Dia juga memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pemilikan pada dua tahun itu membangkitkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatannya selaku penjawat awam.

Dalam sidang media khas pada 5 Januari, Azam tidak menyangkal pemilikan itu tetapi mendakwa ia dibeli oleh adiknya dengan menggunakan namanya.

Pada 18 Januari, Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan siasatannya tidak dapat “secara muktamad” memutuskan berlaku pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda).

Bagaimanapun, susulan kritikan pelbagai pihak, SC menjelaskan pihaknya mendapati Azam mempunyai "kawalan" ke atas akaun jual beli sahamnya dan tiada bukti menunjukkan berlakunya jual beli secara proksi.