Skip to main
Logo Malaysiakini

Muda: Kurang kemudahan asas ancam pendidikan anak-anak kampung di S'wak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Muda menyorot situasi Kampung Kudei Dungun, Kuching, Sarawak yang disifatkan terabai dan kekurangan kemudahan asas - yang mengancam pendidikan anak-anak kampung yang bersekolah.

Muda Sarawak melakukan tinjauan semasa lawatan ke Kampung Kudei Dungun pada Dis 2021 selepas mendapat maklumat awal mengenai beberapa isu yang dihadapi oleh penduduk di kampung itu.

"Mahupun bukan penempatan yang sah, keadaan Kampung Kudei Dungun amatlah menyayat hati dengan kebanyakan rumah adalah sangat usang serta jambatan yang menghubungkan jalan besar dan rumah rumah banyak yang hampir roboh.

"Kehidupan mereka lagi disukarkan dengan ketiadaan bekalan eletrik dan air,” kata Muda dalam satu kenyataan hari ini.

Antara lain, Muda Sarawak menekankan kesukaran yang dihadapi oleh demografi persekolahan kampung.

"Antara pemasalahan terbesar selain daripada keperluan asas seperti elektrik dan air, kebanyakan anak-anak serta remaja di sana yang bersekolah, sukar untuk mengikuti aktiviti pembelajaran sejak pandemik Covid-19 melanda dua tahun yang lepas kerana tiada akses kepada alatan eletronik serta internet.

"Oleh kerana itu, ramai juga di antara mereka ketinggalan dalam pembelajaran lebih-lebih lagi mereka yang diperingkat sekolah rendah,” kata Muda.

Selain fokus kepada isu pendidikan di kampung, Muda Sarawak dikatakan sedang menilai program yang boleh meningkatkan kebajikan penduduk di kampung itu - dengan rancangan untuk bekerjasama dengan ketua kampung serta pemimpin lain dalam Kampung Kudei Dungun.

"Dengan ini, Muda Sarawak ingin menegaskan kerajaan Sarawak lebih lagi Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak untuk memberikan perhatian yang sepatutnya kepada mereka di Kampung Kudei Dungun.

"Tambahan pula, Kementerian Pendidkan Malaysia juga perlu memastikan pelajar di Kampung Kudei Dungun tidak terus ketinggalan dalam pembelajaran," katanya.

Kampung itu terletak dalam DUN Satok yang diwakili oleh Abang Johari Openg dari 1981 hingga pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas.

Kawasan itu kini diwakili oleh Ibrahim Baki dari Gabungan Parti Sarawak.