Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tidak sedikit yang kurang mesra pada Muafakat Nasional'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pemimpin ulama PAS hari ini memberitahu, sejak awal pembentukan Muafakat Nasional (MN) memang ada pihak yang kurang mesra dengan mereka.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Mohd Khairuddin Aman Razali berkata kewujudan pihak yang sebegitu ada di kedua-dua parti dan jumlah mereka pula dikatakannya sebagai "tidak sedikit".

Justeru katanya tidak pelik jika ada kumpulan tertentu yang cuba merosakkan hubungan yang dibina kedua-dua parti melalui MN tersebut.

"Kalau sekarang ada (pihak) yang membakar jambatan, tiada yang pelik. Tidak sedikit yang sebegini daripada kedua-dua belah pihak.

"Namun, ia tidak menghalang untuk kita terus memperjuangkan perpaduan umat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin yang kalah dalam pemilihan parti baru-baru ini dan dilantik menganggotai Jawatankuasa PAS Pusat - sebelum digugurkan kemudian - menambah, penting untuk mereka terus bersama.

Dia yang juga bekas menteri perusahaan perlandangan dan komoditi berkata walaupun PAS dan Umno gagal untuk bersatu dalam politik, mereka perlu terus menjaga "muafakat umat" untuk pelbagai kepentingan.

Kepentingan itu katanya ialah melibatkan aspek agama, ekonomi, sosial dan pendidikan.

"Budaya politik matang dan sejahtera masih menjadi sebahagian dasar PAS dalam membawa politik dakwah.

"Usahlah serang-menyerang. Ambillah politik damai, menghormati pilihan masing-masing. Teruskan berdoa yang terbaik untuk umat," katanya.

Kenyataan itu hadir ketika pemimpin PAS dan Umno sama-sama mengeluarkan kenyataan menyerang antara satu sama lain, termasuk melibatkan pemimpin tertinggi.

Pada 28 Jan lalu Presiden PAS Abdul Hadi Awang menganggap Umno seperti itik yang patah kakinya dan kini cuba 'berenang' bersendirian selepas pulih dengan bantuan mereka.

Tindakan tersebut, kata Abdul Hadi, dianggap PAS sebagai tidak bermoral.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pula berkata, biar apa pun gelaran yang diberikan PAS kepada partinya, mereka tetap menjadi parti parti Melayu terbesar, malah parti politik terbesar di Malaysia.