Skip to main
Logo Malaysiakini

Maeps labuh tirai sebagai pusat rawatan Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) melabuhkan tirainya sebagai pusat rawatan Covid-19, selepas kumpulan terakhir pesakit dibenarkan pulang ke rumah semalam.

Dr Azman Abdullah dalam ciapannya di Twitter berkata, sepanjang 14 bulan seramai 166,072 pesakit Covid-19 dirawat di sana, selain kalangan yang dirawat ketika peringkat awal penularan wabak itu di Malaysia.

"Satu penghormatan untuk berkhidmat di sini selama tiga bulan, dan di hari terakhirnya.

"Semua kakitangan di Maeps akan kembali ke PTJ (pusat tanggungjawab) masing-masing; hospital di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Selangor)," katanya.

Menurutnya, kelengkapan di pusat itu akan diedarkan ke hospital lain serta dua pusat kuarantin yang akan dibuka di Selangor.

Azman juga mengucapkan penghargaan kepada semua yang berkhidmat di Maeps, daripada petugas perubatan, petugas keselamatan, petugas sanitasi sehinggalah penyedia makanan.

Maeps turut berdepan masalah kesesakan di saat kemuncak penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Dalam ciapannya, Azman mengongsikan beberapa gambar pusat itu yang kini lengang.

"Semua pesakit yang dimasukkan di Maeps akan lalu Maeps Staging Area (MSA) ini. Di sini dibuat saringan pertama, kami tentukan pesakit dalam kategori 1, 2, 3 atau 4.

"Awalnya, MSA ditempatkan di Maeps Amphitheatre di luar. Ssejak Mei 2021 ia berpindah ke Dewan B, tempat indoor berhawa dingin," katanya.

Katanya lagi, pesakit kemudian akan dihantarkan ke sejumlah dewan - iaitu Dewan A hingga Dewan F - bergantung kepada tahap keseriusan jangkitan mereka.

"Pesakit yang tidak stabil akan dihantar ke Maria - Maeps Acute Resuscitation & Isolation Area - sebelum dihantar ke hospital.

"Kemudahan di khemah sama seperti zon merah jabatan kecemasan hospital negeri. Kawasan inilah playground saya," katanya lagi.

Maeps sebelum ini dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) tetapi mula beroperasi seperti hospital sejak 24 Januari tahun lalu.

Kes aktif menunjukkan trend peningkatan sejak 17 Januari lalu. Nilai kebolehjangkitan, atau R-naught, pada Sabtu lalu adalah 1.14.

Nilai lebih daripada 1.00 menunjukkan jangkitan yang meningkat.