Tiada keperluan PRN di Kedah ketika ini - Mat Hasan
Buat masa ini, kata Mohamad Hasan, dia tidak melihat ada keperluan untuk pilihan raya negeri (PRN) perlu diadakan di Kedah.
Pun begitu timbalan presiden Umno itu berkata, dia tidak tahu bagaimana situasi sebenar dalam kerajaan negeri berkenaan ketika ini.
Hal itu kerana, kata Mohamad, dia adalah pemimpin di peringkat pusat.
"Saya di ibu pejabat (Kuala Lumpur). Jika ada apa-apa berlaku di Kedah, jangan salahkan saya, tapi buat masa ini saya tak dengar apa-apa," katanya kepada media ketika ditemui hari ini.
Mohamad sebelum itu menghadiri sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA di ibu pejabat parti komponen BN berkenaan di tengah Kuala Lumpur. Turut hadir, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden MCA Wee Ka Siong.
Terdahulu PAS menunjukkan rasa kurang senang dengan tindakan Umno-BN melakukan langkah sendirian bagi melaksanakan pilihan raya negeri (PRN) di Johor. Pada pandangan PAS PRN berkenaan tidak diperlukan pada ketika ini.
Beberapa pemimpin PAS kemudian mempersoalkan langkah itu dan bertanya mengenai kemungkinan ia juga diperluaskan ke negeri lain termasuk di Kedah. Antaranya ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Untuk rekod, kerajaan Kedah kini diketuai Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor dan parti itu bergantung kepada sokongan Umno untuk berkuasa.
Pada 30 Jan lalu salah seorang Adun Umno Kedah, Norsabrina Mohd Noor, menafikan dia serta seorang lagi wakil rakyat parti itu akan menarik sokongan mereka kepada Sanusi.
Sanusi pula berkata setakat ini kerajaan pimpinannya tidak goyah dan masih berjalan seperti biasa, malah tidak membuat marah mana-mana pihak.
Dia juga menganggap cerita mengenai kemungkinan berlaku penarikan sokongan itu sekadar khabar angin oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Alhamdulillah Kedah baik. Memang tidak ada isu di Kedah, kita aman ketika ini. Kita tidak ada buat orang marah," katanya.
Kata Mohamad pada pandangannya tidak ada keperluan untuk mengadakan PRN di Kedah.
"Bagi saya tak ada keperluan. Kita jangan main-main dengan (pilihan raya), melainkan ada keperluan penting," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai