Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan digesa tak pandang ringan isu keselamatan di sekolah tahfiz

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyeru pihak berkuasa berkaitan memperkukuh penguatkuasaan peraturan keselamatan di sekolah tahfiz.

Bercakap mengenai kelaziman kejadian kebakaran di sekolah sebegitu, ketua Amanah Terengganu itu merasakan banyak sekolah seumpamanya gagal mendapat kebenaran berhubung keselamatan tapak tersebut.

Tegasnya, pihak berkuasa tidak boleh memandang ringan isu keselamatan dan kualiti pembinaan sekolah-sekolah ini.

“Sesetengah pemilik sekolah agama mempunyai peruntukan terhad. Mereka mengurangkan kos dengan menggunakan bahan binaan berkualiti rendah,” katanya kepada portal berita Free Malaysia Today.

Dia menambah bahawa pihak berkuasa mesti tidak berat sebelah dalam memberikan kelulusan kepada sekolah tersebut - tanpa campur tangan daripada ahli politik atau VIP.

Minggu lalu, kebakaran berlaku di dua cawangan Maahad Tahfiz Assyatirie di Yan, Kedah.

Pada 24 Jan lepas, 240 murid lari menyelamatkan diri selepas asrama sekolah itu di Sungai Dedap terbakar.

Ini berlaku dua hari selepas kebakaran di cawangan Kampung Dulang Besar.

Selain itu, Raja Kamarul mendakwa beberapa sekolah tahfiz telah membuat perubahan struktur premis mereka tanpa kebenaran pihak bomba.

“Pihak berkuasa mesti melakukan pemeriksaan di sekolah-sekolah ini secara berkala bagi mengelak kemalangan daripada berlaku,” katanya.