Skip to main
Logo Malaysiakini

MP terkejut dengan cadangan nak sebat pendatang haram

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok melahirkan rasa terkejut terhadap cadangan pegawai tertinggi penguat kuasa supaya kerajaan memperkenalkan hukuman sebat terhadap pendatang tanpa izin (Pati) yang berulang kali ditangkap memasuki negara ini secara haram.

Justeru dia menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) agar menjalankan latihan kesedaran hak asasi manusia kepada polis dan agensi penguatkuasaan lain supaya setanding dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

"Saya membaca cadangan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Hazani Ghazali untuk menyebat pendatang tanpa izin yang telah ditangkap berulang kali memasuki negara ini.

"Saya tertanya-tanya sama ada cadangan beliau untuk sebat juga akan dikenakan terhadap pegawai penguat kuasa licik yang gagal dalam tugas mereka dalam menghalang Pati daripada masuk ke Malaysia dan juga penjawat awam yang membantu dan bersubahat dalam penyeludupan migran tanpa izin," kata Kok dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Hazani dilaporkan berkata, hukuman itu sebagai salah satu bentuk pengajaran kepada kepada golongan Pati supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut.

Tegasnya, pihak polis tidak akan berkompromi dengan isu Pati kerana ia boleh memberi kesan terhadap keselamatan negara.

Seksyen 6(3) Akta Imigresen menyebut hukuman bagi kemasukan haram ialah denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga lima tahun dan pesalah juga boleh disebat tidak lebih enam sebatan.

Teresa berkata penjawat awam dan pegawai kanan polis perlu diingatkan sepenuhnya bahawa hukuman sebat dilihat sebagai tindakan biadab, yang merendahkan maruah manusia di peringkat antarabangsa.

"Ramai pendatang tanpa izin yang menyelinap masuk ke Malaysia adalah golongan miskin dari negara jiran kita yang mencari pekerjaan di sini," katanya.