Skip to main
Logo Malaysiakini

Marina mohon maaf kaitkan kenyataan Dr M dengan Ghazali Shafie

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Marina Mahathir membuat permohonan maaf susulan kesilapan dalam ruangan kolumnya, di mana dia mengaitkan ancaman “menembak” pelarian Vietnam pada era 1970-an kepada menteri dalam negeri pada masa itu.

Kenyataan kontroversi itu bukan dibuat oleh menteri dalam negeri ketika itu, Allahyarham Ghazali Shafie tetapi oleh bapanya, Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membangkitkan kesilapan fakta yang besar dalam kolum saya di Sunday Star sebelum ini. Nampaknya saya tidak lepas daripada membuat kesilapan, saya tersilap dan benar-benar meminta maaf.

“Ia bukan untuk mengubah sejarah, seperti didakwa sesetengah orang, (tetapi) ekoran ingatan yang lemah berkenaan sesuatu yang berlaku ketika saya masih remaja dan masih cuba memahami dunia.

“Saya meminta maaf sepenuhnya kepada sesiapa yang terluka atau tersinggung dengan kesilapan ini,” kata Marina dalam hantaran berbahasa Inggeris di Facebook, hari ini.

Kolum tersebut yang bertajuk “We Need the leaders we truly deserve” diterbitkan dalam akhbar The Sunday Star pada 30 Januari lalu.

Dalam kolum itu, Marina antaranya menulis: “Di akhir 70-an ketika ramai pelarian Vietnam mendarat di pesisir pantai kita, menteri dalam negeri ketika itu mengumumkan yang kita akan menembak sesiapa yang tersadai di pantai kita”.

Dalam permohonan maafnya hari ini, dia tidak menyebut nama Ghazali atau Mahathir secara khusus.

Mahathir, Ghazali adalah pesaing

Pada 1970-an, selepas tamatnya Perang Vietnam, ratusan ribu warga negara itu menjadi pelarian.

Ramai yang terkorban di lautan manakala ribuan lagi diselamatkan dan ditempatkan di kem pelarian di Pulau Bidong, Terengganu.

Menurut artikel Washington Post bertarikh 19 Jun 1979, perdana menteri ketika itu, Allahyarham Hussein Onn terpaksa menafikan kenyataan yang dibuat Mahathir.

Dalam surat kepada setiausaha Agung PBB ketika itu Kurt Waldheim, Hussein menyatakan: “Saya ingin menyatakan pendekatan kami untuk menghalang kemasukan lebih ramai pelarian tidak termasuk menembak mereka”.

Artikel Washington Post berkata kenyataan itu bertentangan dengan kenyataan Mahathir, yang sebelumnya berkata pelarian yang baru tiba akan ditembak dan anggaran 75,000 pelarian di kem akan dihantar semula ke lautan.

Ketika itu, Mahathir dan Ghazali dilihat bersaing untuk menggantikan Hussein sebagai perdana menteri. Ghazali meninggal dunia pada 2010.

Kesilapan sama dalam buku

Kesilapan itu turut termuat dalam buku terbaru Marina bertajuk The Apple and the Tree: Life as Dr Mahathir's Daughter.

Sementara permohonan maafnya hari ini merujuk kepada kolum di akhbar tersebut, tidak jelas sama ada ia berhasrat memberi penjelasan berhubung halaman 50 buku itu, di mana dia menceritakan tentang keaiban yang dicetuskan oleh insiden tersebut.

Di halaman itu, kenyataan tersebut sekali lagi disandarkan kepada Ghazali dan bukannya Mahathir.

"Menteri luar kita yang becok (loquacious) pada masa itu, Ghazali, mengisytiharkan bahawa jika ada lagi pelarian yang datang, kita akan 'tembak' (shoot) mereka...

"Muka saya menjadi merah ketika membaca apa yang dikatakan Ghazali. Dia kemudian cuba menjernihkan keadaan dengan pihak Barat dengan berkata dia sebenarnya bermaksud menghalau (shoo) mereka - satu penjelasan yang boleh diterima.

"Apa-apa pun tiada siapa yang percayakannya, dan saya menjadi bertambah malu," tulisnya dalam buku tersebut.

[Baca berita asal]