Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Itu pandangan ketua pengarah JPJ, bukan dasar kerajaan’

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan tiada dasar untuk membatalkan permit institut memandu (IM) dan menarik balik sijil tenaga pengajar jika ramai pelajar terlibat dalam kemalangan.

Menterinya, Dr Wee Ka Siong sebaliknya berkata perkara cadangan itu hanyalah pandangan peribadi Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Zailani Hashim.

Menurut Wee, sebarang hala tuju dasar atau cadangan tambah baik akan dikaji secara menyeluruh dan saintifik terlebih dahulu.

Katanya, ia akan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan termasuk keberkesanan, kebolehlaksanaan dan keupayaan untuk mencapai objektif ditetapkan.

"MOT tidak mahu menuding jari secara melulu terhadap pihak tertentu dan seterusnya persalahkannya semata-mata berdasarkan andaian atau hipotesis yang tidak berasas," katanya.

"Dalam masa sama, MOT bersama agensi-agensi di bawahnya akan meneruskan aktiviti advokasi dan penguatkuasaan sedia ada bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pematuhan kepada peraturan jalan raya serta aspek keselamatan jalan raya di seluruh negara.

"Kementerian serius dan komited dalam memastikan jalan raya kekal selamat digunakan oleh semua pihak," katanya.

Zailani pada 30 Januari berkata JPJ akan menggantung atau membatalkan permit institusi memandu mengeluarkan ramai calon yang terbabit dalam kemalangan dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Katanya, mereka akan melekatkan kod di lesen memandu pengguna jalan raya bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan di mana pesalah itu menerima latihan pemanduan.

Bagaimanapun, katanya, kaedah itu masih dalam peringkat cadangan namun akan disenaraikan bawah sistem e-Testing yang selepas dilancarkan pada 1 April nanti.

"Kaedah ke arah pendigitalan ini dijadikan seperti audit tracking untuk mengetahui ada sesuatu yang tidak kena atau pengajaran serta modul yang tidak diikuti dengan betul.

"Jika banyak rekod kesalahan atau kemalangan jalan raya termasuk menyebabkan kemalangan maut dikesan dari sesuatu institusi memandu ini, kita tidak teragak-agak menggantung atau membatalkan permit," dia dipetik sebagai berkata.