Skip to main
Logo Malaysiakini

Annuar: Serahkan pada pucuk pimpinan isu kerjasama Muafakat Nasional

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Keputusan hubungan kerjasama antara Umno dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi kedua-dua parti berkenaan, kata Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa.

Bekas Setiausaha Agung Umno yang turut sama terlibat dalam proses rundingan MN sehingga piagam MN dimeterai Umno dan PAS pada 14 Sept 2019 itu berkata, isu besar seperti itu perlu diserahkan kepada pemimpin parti kerana MN itu diputuskan Muktamar Pas dan Perhimpunan Agung Umno.

"Selagi Muktamar PAS dan Perhimpunan Agung Umno tidak membuat apa-apa pada saya MN masih wujud, masih kekal," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Penyiaran Kelantan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), di Kuala Lumpur hari ini.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sejauh mana hubungan kerjasama MN antara PAS dan Umno apabila terdapat beberapa pimpinan daripada kedua-dua parti terbabit sering berbalas kenyataan mengenai isu berkenaan.

Ketua Umno Ketereh itu berkata mana-mana individu yang tidak terlibat dalam pembentukan MN dinasihatkan supaya tidak memberi kenyataan atau gambaran yang kurang baik terhadap kerjasama ini.

Sebelum ini, media melaporkan UmnoKelantan dan Terengganu telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan PAS negeri menerusi MN.

-Bernama