Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM akan lanjut kontrak penolong pegawai kesihatan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan ia kini dalam proses melanjutkan kontrak penolong pegawai perubatan dan sedang menunggu pengesahan agensi berkaitan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

KKM berkata demikian sebagai respons terhadap laporan Utusan Malaysia bahawa penolong pegawai perubatan berhasrat mengadakan protes, sama seperti yang dilakukan doktor kontrak pada tahun lalu.

Penolong pegawai perubatan kontrak turut menghadapi kebimbangan sama seperti doktor kontrak, antaranya ketiadaan keselamatan pekerjaan dan faedah yang kurang berbanding kalangan yang berjawatan tetap.

"SPA pada 26 dan 28 Januari 2022 telah setuju meuluskan pelantikan semula kontrak seramai 1,243 penolong pegawai perubatan gred U29 dari kalangan graduan Institut Latihan KKM yang tamat kontrak pada 2 Februari 2022," menurut Ketua Setiuasaha KKM Mohd Shafiq Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, tawaran lanjutan kontrak bagi kohort yang tamat kontrak pada 2022 akan dibuat secara berfasa, sebaik perakuan KKM diluluskan oleh agensi pusat dan SPA.

"KKM amat menghargai peranan penting penolong pegawai perubatan di KKM bersama barisan hadapan lain, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

"Mengambil kira status Malaysia kini dalam peralihan ke fasa endemik dan usaha memulihkan perkhidmatan tertangguh akibat Covid-19, KKM telah memperakukan pelanjutan kontrak petugas kesihatan yang akan menamatkan kontrak pada 2022," katanya lagi.