Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Payung besar pembangkang: Langkah sumbang atau bijak?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Umum mengetahui bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan setelah Ir Hasni Mohammad, menteri besar, mendapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ini rentetan daripada kematian Adun Kempas, Osman Sapian pada 21 Disember.

Kesempatan ini diambil oleh Umno selepas mereka merasakan memerintah Johor sejak 27 Februari 2020 dengan “bantuan” parti bekas komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Bersatu.

Setelah Umno menang besar pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021 dengan sokongan dua pertiga, mereka merasakan inilah masa dan waktu yang terbaik untuk merampas Johor - “tanah air” mereka kerana di negeri inilah Umno dilahirkan.

Dalam masa yang sama, dapat kita lihat Umno ingin “mengajar” Bersatu tunduk pada kehendak Umno, terutamanya daripada kem Zahid Hamidi.

Pihak pembangkang utama di Johor iaitu PH tiada pilihan selain bertanding walaupun sedang berada dalam keadaan serba kekurangan dan tidak bersedia sepenuhnya.

Situasi lebih dirumitkan apabila sebahagian penyokong PH dilihat sudah tawar hati dengan gaya pimpinan Anwar Ibrahim. Malah kedengaran suara-suara agar beliau berundur dari jawatan pengerusi PH.

Dalam kekalutan itu, timbul idea tentang konsep “khemah besar” pembangkang yang disebut oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu (Mat Sabu).

Idea beliau ialah semua parti pembangkang (Amanah, DAP, PKR, Muda, Warisan dan Pejuang) harus bersatu hati dalam satu keluarga besar bagi melawan BN dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau mahu parti-parti pembangkang tidak bertembung antara satu sama lain dengan BN serta PN, sekali gus mengurangkan risiko kalah.

Idea tersebut dilihat seperti sebuah idea yang bernas bagi sesetengah pihak terutamanya bagi sebahagian pimpinan Amanah dan DAP.

Namun ia mendapat tentangan penyokong PH terutamanya daripada PKR. Bagi PKR, mereka melihat Pejuang sebagai ancaman atau duri dalam daging setelah apa yang telah berlaku sejak Langkah Sharaton berlaku pada Februari 2020.

Sosok tubuh Dr Mahathir Mohamad dilihat seperti liability kepada PH untuk memenangi hati pengundi terutamanya penyokong tegar PH mahupun pengundi atas pagar.

Sebahagian mereka yang menyokong idea ini menyatakan sejak Anwar menerajui PH, segala langkah politik dan percaturan politik tidak menjadi serta sentiasa gagal.

Percubaan Anwar untuk menaikkan diri beliau sebagai perdana menteri ketika kekalutan politik negara pada Februari 2020 dan Oktober 2021 serta kekalahan besar pada PRN Melaka menampakkan kegagalan beliau sebagai pengerusi PH.

Perkara itu memberi ruang dan peluang kepada sebahagian ahli PH mendesak agar taktik dan cara lain diusahakan. Salah satunya adalah dengan menerima konsep “khemah besar”.

Sejak timbulnya idea yang melibatkan pelbagai parti termasuk Pejuang, polemik demi polemik melanda PH. Ia menampakkan keretakan dalaman semakin membesar dan merekah.

Persoalannya, adakah konsep “khemah besar” bakal dilaksanakan? Atau ia akan digagalkan oleh pimpinan PH yang tidak mahu pengaruh Dr Mahathir meresap ke dalam PH sekali lagi?

Nantikan debarannya setelah palu dan gendang PRN Johor dibunyikan.

MUHAMMAD SYUKHRI SHAFEE berkhidmat sebagai felo di Nusantara Academy for Strategic Research dan aktif menulis isu-isu politik, kesedaran sosial dan isu-isu semasa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.