Skip to main
Logo Malaysiakini

Pulihkan ekonomi sebelum naikkan kadar faedah pinjaman - Adun

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil meminta kerajaan memulihkan ekonomi negara terlebih dahulu sebelum menaikkan kadar faedah pinjaman yang dijangka bermula separuh kedua tahun ini.

"Memandangkan tekanan inflasi semakin meningkat, kerajaan perlu bersedia awal dengan strategi khusus untuk mendorong ekonomi negara.

"Kerajaan perlu mengumumkan satu pakej suntikan fiskal bersasar dalam masa terdekat untuk meningkatkan keyakinan pasaran dan merancakkan pertumbuhan makroekonomi, di samping memudahkan syarikat dan perniagaan mengembangkan operasi dan meningkatkan tenaga kerja," katanya.

Ahli ekonomi firma penyelidikan pasaran AmInvest Research pada 30 Januari lalu berkata Bank Negara dijangka menaikkan kadar faedah bermula separuh kedua tahun ini, dengan kemungkinan dua kali kenaikan sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus setiap satu.

‘Harga ayam turun 20sen sekilo tak banyak membantu’

Dalam kenyataan hari ini, Faiz berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob harus lebih serius menangani masalah kenaikan harga barang dalam mengekang inflasi.

"Sebagai contoh, penurunan 20 sen harga sekilogram ayam tidak banyak membantu rakyat dan tidak menunjukkan kesungguhan politik untuk membantu poket rakyat, tetapi lebih kepada poket tauke dan kroni," katanya.

Menurut Faiz, meskipun peningkatan faedah pinjaman selaras dengan normalisasi dasar monetari dan kenaikan inflasi di Malaysia, namun adakah rakyat bersedia menanggung bayaran balik pinjaman yang lebih tinggi pada ketika ekonomi negara belum pulih.

Kata pemimpin Amanah itu, pengangguran negara masih tinggi dan separuh daripadanya melibatkan golongan belia.

Pemulihan gaji rakyat pula, katanya, masih lemah di banyak sektor.

"Gaji graduan muda yang merosot ke bawah paras gaji minima berikutan pandemik, seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan, dijangka mengambil masa untuk pulih dan ini menimbulkan persoalan sama ada golongan graduan muda ini mampu menanggung kadar faedah yang lebih tinggi.

"Pada masa yang sama, banyak perusahaan kecil sederhana (PKS) masih bergelut dengan isu aliran tunai dan kumpulan ini juga akan terus terhimpit dengan kos pinjaman yang tinggi jika kadar faedah naik," katanya.

Oleh demikian, tegas Faiz kerajaan seharusnya mengutamakan kebajikan rakyat terlebih dahulu selain memperkenalkan strategi khusus untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Insentif perlu diperkenalkan untuk menggalakkan syarikat-syarikat meningkatkan gaji pekerja tanpa mengalami tekanan aliran tunai yang lebih dahsyat.

"Bank-bank di Malaysia, terutamanya bank-bank milik kerajaan seperti BSN dan AgroBank, boleh menyediakan skim pinjaman khas dengan kadar faedah bersubsidi untuk golongan-golongan tertentu seperti graduan muda, usahawan dan para petani," tambahnya.