Skip to main
Logo Malaysiakini

Perbicaraan kes Rosmah ditangguh, saksi kena kuarantin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terpaksa ditangguhkan hari ini apabila salah seorang saksi akhir pembelaan tidak dapat hadir kerana perlu menjalani kuarantin wajib prosedur Covid-19.

Peguam Rosmah, Azrul Zulkifli Stork, memberitahu hakim Mohamed Zaini Mazlan, saksi terbabit sedang menjalani kuarantin mandatori selama tujuh hari.

Katanya memang Siti Azizah Sheikh Abod sepatutnya kembali dari luar negara pada 28 Jan lalu namun penerbangan saksi terbabit - dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur - dibatalkan.

Justeru kata peguam Rosman, Siti Azizah terpaksa mengambil penerbangan lain yang menyebabkan dia lewat sampai ke negara ini, iaitu pada 29 Jan.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu, Siti Azizah sedang menunaikan umrah namun tetap bersedia untuk disoal balas oleh pihak pendakwaan dalam prosiding hari ini.

Dalam prosiding lalu bekas penyelaras Bahagian Wanita Pertama (FLOM) di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, penjawat awam tidak menganggap Rosmah sebagai keterlaluan atau suka mengongkong.

Isteri Najib Razak itu sedang dibicarakan atas pertuduhan rasuah berkaitan projek tenaga hibrid solar untuk 369 sekolah di kawasan luar bandar di Sarawak. Projek tersebut bernilai RM1.25 bilion

"Siti Azizah berada di bawah perintah pengawasan di Rumah. Dia pada mulanya dijadualkan terbang dari Abu Dhabi ke Malaysia (dan dia boleh tiba di Malaysia pada) 28 Jan.

"Tetapi penerbangan dibatalkan, jadi dia hanya tiba di Malaysia pada 29 Jan (melalui penerbangan lain)," kata Azrul kepada mahkamah hari ini, sambil Rosmah melihat dari kandang tertuduh.

Mahu tumpuan penuh

Bagaimanapun, Zaini kelihatan tidak berpuas hati. Hakim itu kemudian berkata sebelum ini Azrul memberitahu Siti Azizah dijadualkan tiba di Malaysia pada 20 Jan bukannya 28 Jan.

Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram kemudian mencadangkan bahawa mungkin berlaku salah faham ketika itu disebabkan oleh sebutan tarikh oleh Azrul.

"Nah, itu mengubah segala-galanya. Hari ini sepatutnya menjadi hari terakhir perbicaraan. Baiklah, saya terima penjelasan awak,” kata Zaini.

Hakim kemudian menetapkan perbicaraan disambung semula pada petang 15 Feb.

Dia juga mengarahkan timbalan pendakwa raya serta peguam bela untuk mengosongkan sebarang perbicaraan atau prosiding lain yang mungkin melibatkan mereka di mahkamah lain.

Arahan itu dibuat agar semua pihak yang terlibat boleh memberi tumpuan kepada prosiding 15 Feb nanti.

Selain Azrul, anggota pasukan pembelaan Rosmah yang lain termasuk Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh.

Rosmah, 70, menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa meminta rasuah RM187.5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd untuk membantu mendapatkan projek Kementerian Pendidikan Malaysia.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu bertujuan membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak menggunakan gabungan tenaga solar dan diesel.

Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa masing-masing menerima rasuah RM1.5 juta dan RM5 juta sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek itu.

Pada 18 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Rosmah membela diri selepas hakim mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah juga masih menunggu perbicaraan penuh membabitkan kes pengubahan wang haram dan mengelak cukai bernilai RM7 juta.

[Baca berita penuh]