Skip to main
Logo Malaysiakini

Ingatan Bersatu pada Umno mungkin ada muslihat, kata Ahmad

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Diingatkan mengenai "sokongan bersyarat" terhadap Ismail Sabri Yaakob, seorang pemimpin kanan Umno hari ini dilaporkan meminta penjelasan daripada Bersatu mengenai makna kenyataan tersebut.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mendakwa rakyat tidak faham apa yang dimaksudkan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan semalam.

Untuk rekod sebelum ini pun Bersatu dan PAS - yang mengadakan permukiman di Shah Alam - turut menyentuh mengenai isu "sokongan bersyarat" dalam resolusi bersama mereka.

Kali pertama isu tersebut disebut Bersatu ialah sejurus selepas Ismail Sabri - yang juga naib presiden Umno - dilantik secara rasmi menjadi perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin merupakan presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional.

“Rakyat tak tahu apa syarat yang mereka sebut ini, saya juga tidak tahu… jadi saya ingin bertanya kepada Wan Saiful, apa dia sokongan bersyarat itu?

“Tolong nyatakan apakah ia ancaman atau ugutan kepada perdana menteri dan juga kerajaan yang ada sekarang ini," kata Ahmad seperti dipetik Umno Online yang juga portal berita rasmi Umno.

Tambah ahli parlimen Pontian itu ada kemungkinan kenyataan tersebut dibuat dengan kepentingan tertentu.

Nasihat buat Bersatu, PAS

Misalnya kata Ahmad agar pemimpin Bersatu - dan PAS - dapat kekal menjadi menteri dalam kabinet Ismail Sabri.

“Mereka ini mungkin ada kepentingan untuk menjadi menteri-menteri dalam kerajaan Keluarga Malaysia, bukan begitu?

"Mereka ada kepentingan untuk meneruskan jawatan-jawatan mereka, begitu juga PAS dan PPBM, mungkin itu antara syarat-syarat,” tambah Ahmad yang berucap di Tebrau, Johor.

Mengenai PRN Johor, Ahmad menasihatkan agar Bersatu dan PAS tidak mempertikaikan keputusan Umno-BN kerana ia sudah mendapat perkenan daripada istana.

Katanya lagi, tidak timbul isu Umno mengambil langkah sendiri dengan membubarkan dewan undangan negeri kerana ia sudah mendapat perkenan daripada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad ditegur kenapa tidak berbincang untuk mengadakan PRN ini, tapi saya kira beliau mempunyai kaedah tertentu untuk memikirkan yang baik untuk negeri dan tentunya perkenan Sultan Johor itu telah pun diperoleh.

“Oleh kerana perkenan telah diperoleh, saya ingin nasihatkan PPBM (Bersatu), PAS dan lain-lain jangan hendak mempertikaikan PRN ini," katanya.