Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar bidas Zafrul kerana perkecil kesan kebankrapan Genting HK

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim mengkritik Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz kerana menolak kemungkinan kesan daripada kebankrapan Genting Hong Kong (GHK) Limited.

Dalam satu kenyataan hari ini, dia mengulangi kebimbangan bahawa kebankrapan syarikat itu akan menjejaskan rakyat Malaysia.

Jelasnya, ini kerana kerajaan mempunyai kepentingan dalam bank-bank yang memberikan pinjaman tidak bercagar kepada GHK.

" Lagak santai dan bersahaja beliau (Zafrul) dalam memberi pencerahan tentang isu ini amat mengecewakan tatkala kita sedia maklum bahawa badan-badan atau tabung-tabung kewangan utama negara mempunyai pertalian pelaburan yang cukup besar di dalam bank-bank tempatan di negara ini," katanya.

Anwar juga merujuk kepada kemungkinan penglibatan Tengku Zafrul dalam pinjaman Genting Hong Kong ketika terlibat dalam perbankan.

"Zafrul adalah kepala Perbankan Pelaburan semasa di Maybank apabila urusan pinjaman kepada GHK dibuat.

"Dia kemudiannya berkhidmat di dalam badan eksekutif di CIMB semasa pinjaman kepada GHK diservis. Dia telah menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan selama hampir dua tahun. Dia mempunyai kepakaran yang luas berhubung perjanjian itu, dan mempunyai masa yang cukup untuk melakukan pindaan yang mampu memastikan manfaat kepada pengguna-pengguna bank, tapi itu tidak berlaku.

"Ringkasnya, hanya ada seorang yang mampu merundingkan perjanjian yang lebih baik kepada GHK bagi pihak rakyat Malaysia iaitu Menteri Kewangan sekarang. Ternyata beliau telah gagal," kata Anwar.

Anwar yang juga presiden PKR sebelum ini menuntut penjelasan mengapa bank berkaitan kerajaan menyediakan kira-kira RM2.51 bilion pembiayaan tidak bercagar kepada GHK.

Sebagai tindak balas, Tengku Zafrul berkata dia mahupun pemegang saham kerajaan tidak campur tangan dengan cara bank beroperasi, termasuk pihak yang menawarkan pinjaman tidak bercagar.

Bukan sahaja pinjaman tidak bercagar "tidak luar biasa", menteri itu mendedahkan bahawa pinjaman GHK diluluskan sebelum pandemik Covid-19 menjejaskan industri kapal persiaran.

Hari ini, Anwar mengkritik sikap Tengku Zafrul berhubung perkara itu.

"Menteri Kewangan yang cekap pasti akan menonjolkan sikap dan nilai integriti yang tinggi dalam mengurus peruntukan dan dana, terutamanya di saat ini di mana jutaan rakyat Malaysia sedang berdepan dengan masalah pengangguran, keadaan ekonomi yang belum kukuh serta masalah kemiskinan.

"Tidak kurang juga sebilangan rakyat yang menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman kerana dampak hentakan wabak Covid-19 ke atas ekonomi kita.

"Masalah bankrupsi yang kini dihadapi oleh segelintir yang lain ternyata satu pukulan maut," tambah ahli parlimen Port Dickson itu.

Anwar mengulangi bahawa Malaysia telah mengalami banyak skandal kewangan, seperti urusan Bumiputra Malaysia Finance (BMF).

Skandal BMF berlaku pada tahun 1983 dan juga melibatkan pinjaman besar kepada syarikat yang berpangkalan di Hong Kong. Kerajaan akhirnya terpaksa menyelamatkan Bank Bumiputra Malaysia Bhd sehingga berbilion-bilion.

Tengku Zafrul sebelum ini berkata walaupun GHK bankrap, bank dan sektor perbankan Malaysia mampu menghadapi cabaran.

Tiga bank yang dilaporkan memberikan pinjaman tidak bercagar kepada GHK ialah Maybank, CIMB dan RHB.