Skip to main
Logo Malaysiakini

Butiran mesyuarat RCI Tabung Haji jadi tanda tanya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Lembaga Tabung Haji telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada 26 Januari lalu.

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini, seperti dilapor Kosmo.

Bagaimanapun, menurut Wan Junaidi, dia tidak tahu mengenai butiran mesyuarat tersebut memandangkan ia bukan di bawah bidang kuasanya.

Sebaliknya, dia menjelaskan bahawa ia di bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Namun, pada 2 Februari lalu, Idris berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan mencampuri siasatan RCI berhubung isu berbangkit mengenai Tabung Haji.

Ketika Malaysiakini menghubungi ahli RCI, Samsudin Osman yang juga bekas ketua setiausaha negara untuk mendapatkan butiran lanjut hasil mesyuarat tersebut, Samsudin berkata dia tidak dapat mendedahkannya.

“Kami tidak boleh membuat apa-apa kenyataan,” jawabnya ringkas.

Apabila ditanya mengenai terma dan syarat RCI Tabung Haji, katanya perkara itu juga tidak dapat didedahkan.

Ahli RCI mengenai Lembaga Tabung Haji, Samsudin Osman.

Untuk rekod, pada 26 Sept 2021, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan akan mengumumkan terma dan syarat RCI itu “dalam masa terdekat.”

“Terma dan syarat itu nanti tidak lari dari tujuan penubuhan RCI untuk menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Tabung Haji dari tahun 2014 hingga 2020.

“Kesemua transaksi yang timbul dan berbangkit sama ada di Parlimen atau media sosial mengenai urusan Tabung Haji yang perlu pada siasatan akan dirungkaikan menerusi RCI tersebut,” kata Ahmad Marzuk.

Pada 14 Julai 2021, Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu merupakan timbalan perdana menteri mengumumkan bahawa kerajaan melalui mesyuarat Kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan RCI bagi menjalankan siasatan ke atas Lembaga Tabung Haji.

RCI Tabung Haji

Siasatan merangkumi hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Jelas Ismail, ia tidak termasuk pelan pemulihan dan penstrukturan Tabung Haji yang sedang dilaksanakan sekarang.

Bagaimanapun, bekas menteri agama Mujahid Yusof mempersoalkan mengenai pelan penstrukturan semula Lembaga Tabung Haji tidak termasuk dalam terma RCI yang akan ditubuhkan.

Tambah ahli parlimen Parit Buntar itu, dia bersedia dipanggil untuk memberi keterangan kepada RCI yang akan ditubuhkan nanti.

Menurut Ismail Sabri, ia merangkumi siasatan bagi menentukan sama ada wujud atau tidak tindakan menyembunyikan maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberikan kenyataan yang mengelirukan.

Turut disenaraikan sebagai terma buat RCI itu ialah mengesyorkan tindakan yang sesuai ke atas pihak yang terlibat melanggar mana-mana peruntukan undang-undang sama ada secara langsung atau tidak tanpa menjejaskan siasatan atau tindakan perundangan sedia ada.

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi Tabung Haji.

Objektif

- Supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara yang dibangkitkan.

- Ia bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan Tabung Haji.

- Ia juga bagi memastikan siasatan dalaman yang telus dan amanah dapat dilaksanakan demi memastikan badan itu menguruskan wang deposit umat Islam dengan profesional.

Anggota RCI

Sebelum ini dilaporkan anggota RCI akan terdiri daripada kalangan pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.

Pada 19 Jan, kerajaan mengumumkan pelantikan enam ahli RCI yang diketuai oleh bekas ketua hakim negara Mohamed Raus Sharif setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit berkaitan Tabung Haji dalam tempoh 2014 hingga 2020.

Ahli RCI yang lain ialah bekas ketua setiausaha negara Samsudin Osman; Pengasas RHB Group Abdul Rashid Hussain; bekas pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad Dr Mohd Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Unishams) yang juga Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (SC) Prof Dr Asmadi Mohamed Naim; dan akauntan bertauliah yang juga Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Norsyahrin Hamidon.

Isu dan kontroversi

Pada Disember 2018, Mujahid Yusof yang merupakan menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama) ketika itu mendedahkan bahawa Tabung Haji mengalami defisit RM4.1 bilion pada akhir tahun 2017.

Tinjauan bebas oleh syarikat audit bebas PriceWaterhouseCoopers (PWC) mendapati bahawa dana kerajaan telah mengalami kerugian nilai ekuiti sebanyak RM4.3 bilion tetapi fakta ini dikatakan disembunyikan.

Firma itu selanjutnya menyimpulkan bahawa Tabung Haji telah menyembunyikan kerugiannya agar dapat mengeluarkan dividen pada tahun 2017.

Untuk rekod, Akta Tabung Haji 1995 tidak membenarkan pembahagian dividen sekiranya kekurangan dana.

Antara isu yang dibangkitkan dalam laporan PWC merupakan Tabung Haji didapati membayar hibah (dividen) menggunakan simpanan pendeposit, menurut semakan kedudukan kewangannya pada 2017.

Bagaimanapun, atas kertas, Tabung Haji memberikan gambaran bahawa hibah dibayar menggunakan keuntungan syarikat, menurut laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember 2018.

Malah, pada 2015, ketua pegawai eksekutif Tabung Haji Johan Abdullah ketika itu mengesahkan bahawa terdapat pembelian tanah di tapak Tun Razak Exchange (TRX), di mana firma pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menjual sebidang tanah kepada Tabung Haji dengan harga RM188.5 juta (US$53 juta), iaitu lebih rendah daripada paras yang dijangka sebelum ini.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, yang merupakan Pengerusi Tabung Haji dari Julai 2013 hingga Mei 2018, kini menghadapi 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Dia sebelum ini menafikan dua laporan polis yang mendakwa salah urus RM22 juta oleh Tabung Haji, dan mengatakan laporan itu mempunyai "niat buruk" terhadapnya.

Pengkritik

Pada 27 Sept 2021, Ahmad Marzuk ketika di Dewan Rakyat berkata tiada sebarang kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan kecurian dana Lembaga Tabung Haji.

“Setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka ke atas mana-mana pihak atas tuduhan mencuri wang Tabung Haji termasuklah yang YB Baling sering kedengaran,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling - BN) berhubung dakwaan tersebut.

Pada 30 Jan 2020, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendesak kerajaan segera menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam Tabung Haji, seperti janji Manifesto Pakatan Harapan (PH).

Dalam manifestonya, PH menyatakan penubuhan siasatan RCI bagi penyiasatan skandal 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji dijanjikan ketika kempen pilihan raya umum ke-14 lalu.