Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM siasat Mara lepas kebocoran dokumen dakwa salah laku eksekutif

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat Majlis Amanah Rakyat (Mara) selepas pembocoran dokumen mendakwa kaitan eksekutif dalam salah laku kewangan.

Antara salah laku yang didakwa ialah eksekutif menaikkan elaun mereka tanpa kelulusan, membuat tuntutan berganda, dan menyalahgunakan harta syarikat seperti kereta.

Dakwaan itu dibangkitkan dalam dokumen bertarikh 30 Jan yang diterbitkan oleh akaun Twitter pemberi maklumat Edisi Siasat, semalam

Dokumen bocor tersebut didakwa surat daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mara Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusinya Azizah Mohd Dun, yang telah mengarahkan siasatan dalaman terhadap lima orang eksekutif agensi itu.

Dokumen berkenaan termasuk lampiran yang memperincikan penemuan siasatan dalaman, dengan ketua pegawai eksekutif Mara mendakwa kepimpinan tertinggi tidak tahu-menahu mengenai dakwaan salah laku ketika ia berlaku.

Azizah cuba memperkecilkan perkara itu apabila isu pembocoran dokumen tersebut mendapat perhatian umum.

“Susulan tersebarnya dokumen dalaman anak syarikat Mara di media sosial berhubung isu integriti beberapa pegawai Mara, Mara ingin menafikan sebarang salah guna kuasa atau salah urus dalam isu itu,” katanya pada satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, dia memberi jaminan bahawa Mara sedang meneliti perkara itu dan sekiranya terdapat sebarang salah laku, agensi itu tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, SPRM berkata ia telah menerima laporan berhubung perkara itu dan akan memulakan siasatan pada Isnin, dengan menemubual saksi di Mara Corp.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM berhubung salah guna jawatan oleh pegawai awam untuk menerima rasuah.

[Baca berita asal]