Hadi dahului kabinet iktiraf Taliban di Afghanistan - Salahuddin
Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Salahuddin Ayub menyifatkan kenyataan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang di Qatar baru-baru ini untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada kerajaan Taliban di Afghanistan sebagai terburu-buru.
Malah, Salahuddin berkata Abdul Hadi juga dilihat mendahului kabinet atau perdana menteri semasa membuat pengumuman tersebut, sedangkan kerajaan belum secara rasmi mengiktiraf pimpinan Taliban di Afghanistan.
"Tindakan gopoh serta aneh Abdul Hadi yang mewakili Malaysia diperhati seluruh dunia memberi imej yang buruk kepada negara.
"Pertamanya, kerajaan Malaysia masih tidak secara rasmi mengiktiraf kerajaan pimpinan Taliban di Afganistan.
"Nampaknya Abdul Hadi telah terburu-buru melebihi kuasanya sebelum keputusan kabinet bertindak sedemikian," kata Salahuddin dalam satu kenyataan.
Timbalan presiden Amanah itu turut membangkitkan persoalan adakah kabinet dan kerajaan Malaysia telah memberi kuasa kepada Abdul Hadi untuk membuat kenyataan sedemikian bagi pihak kerajaan.
"Komitmen sedemikian mesti diperakui oleh kabinet kerana banyak implikasi yang berkaitan dengan protokol.
"Dasar luar negara Malaysia ditetapkan oleh Wisma Putra dan menjadi tanggungjawab menteri luar, pengumuman komitmen terbabit adalah satu diluar bidang kuasa beliau," katanya.
Pada 4 Febuari lalu, Abdul Hadi yang merupakan duta khas kerajaan ke Timur Tengah, bertemu dengan wakil Taliban di Doha, Qatar.
Wakil tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Taliban, Mohammed Suhail Shaheen, berkata dia dan Abdul Hadi membincangkan keperluan Malaysia untuk menyediakan bantuan ekonomi dan kemanusiaan kepada Afghanistan.
Bagaimanapun, Menteri Luar, Saifuddin Abdullah berkata Malaysia masih menunggu keputusan pertubuhan antarabangsa sebelum mengiktiraf kerajaan Taliban di Afghanistan.
Kata Saifuddin, ketika ini Malaysia tidak terburu-buru untuk mengiktiraf kerajaan Taliban di Afghanistan.
Sementara itu, menurut Salahuddin, pengumuman Abdul Hadi untuk memberikan bantuan dan sokongan itu juga menimbulkan beberapa persoalan dan mengejutkan ramai orang.
"Setelah begitu lama dilihat tidak memainkan peranan sebagai duta, bahkan tidak pun mengadakan lawatan rasmi ke negara Timur Tengah, tiba-tiba muncul pengumuman sedemikian untuk Afghanistan yang terletak di luar Timur Tengah.
"Mungkinkah hanya kebetulan beliau bertindak terburu-buru dengan pilihan raya umum (PRU) ke-15 semakin hampir?” soalnya
Kata Salahuddin, tokoh agama biasanya akan membuat tindakan dengan bijaksana, teratur dan berhati-hati, namun ia berbeza dengan Abdul Hadi.
"Kenapa langkah Abdul Hadi kali ini dilihat sangat terburu-buru dan melangkau ketetapan oleh kabinet Malaysia, bahkan juga ASEAN dan PBB.
"Jika Abdul Hadi benar-benar peduli terhadap kesengsaraan dihadapi umat Islam di Timur Tengah, mengapa tidak disentuh soal penderitaan kematian ramai yang dihadapi oleh rakyat Yaman yang memang terletak di Timur Tengah, berpunca dari Arab Saudi dan negara barat?” soalnya.
Tambahnya, perang di Yaman adalah perang antara kuasa besar dan negara yang lemah dan kerdil, sehingga berjuta kanak-kanak dan orang dewasa berhadapan masalah kekurangan nutrisi serta kebuluran dengan banyak kematian.
Tegas Salahuddin, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob perlu menjelaskan pendirian Malaysia berhubung pentadbiran Taliban di Afganistan dan juga soal krisis di Yaman.
"Abdul Hadi juga perlu memberi penjelasan kepada kabinet dan rakyat Malaysia, kenapa sebelum ini beliau hilang dari melaksanakan tanggungjawab sebagai duta, namun apabila tiba penguman PRN Johor, tiba-tiba muncul dan membuat pengumuman yang kontroversi untuk negara di luar kawasan tanggungjawab beliau sebagai duta khas ke Timur Tengah," katanya.
Tambah Salahuddin, walaupun pihaknya sepakat dan bersetuju bahawa rakyat Afganistan memerlukan bantuan, tetapi ia harus mengikuti prosedur dan protokol yang betul.
Dalam prosedur biasa, Malaysia akan menunggu penelitian dan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap satu satu kerajaan dalam negara, sebelum memberi komitmen kepada kerajaan kontroversi baharu seperti Afghanistan, tambahnya.
Taliban mengambil alih pentadbiran di Afghanistan pada Ogos lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai