Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Jangan rakyat terkorban disebabkan langkah bodoh kita’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini berkata sebarang percubaan parti itu untuk meninggalkan kerajaan persekutuan dan memaksa supaya pilihan raya umum diadakan semasa wabak Covid-19 ini akan mencetuskan tindak balas negatif daripada orang ramai.

Walaupun mengakui hubungannya kini tegang dengan Umno, Muhyiddin berkata Bersatu memikirkan kepentingan rakyat dan negara.

“Supaya jangan rakyat terkorban disebabkan langkah bodoh kita. Bertindak sebegitu hanya untuk kepentingan parti kita.

“Nanti rakyat akan kata what the hell are you trying to do? In this Omicron. Do you want to see us die?' Itu soalannya,” kata Muhyiddin pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Dia berkata demikian apabila ditanya mengapa Bersatu masih kekal di Putrajaya bersama Umno dan PN, di sebalik rasa saling tidak mempercayai satu sama lain sehingga mencetuskan pilihan raya negeri Johor.

“Saya nak tanya awak (media), kamu tak kisah ke?

“Orang tanya saya tentang ‘tekan butang’ tapi adakah (ini) wajar dalam keadaan sebegini untuk kepentingan saya, parti saya?

"Jika kamu ada kuasa dan kamu menyalahgunakan kuasa hanya untuk kepentingan diri sendiri, dengan mengorbankan rakyat, saya rasa itu paling tidak bertanggungjawab,” soal Ahli Parlimen Pagoh itu.

November lalu, Muhyiddin, yang juga Adun Gambir, dalam membidas veteran Umno Shahrir Samad dilaporkan berkata dia tidak takut untuk "menekan butang" dan menumbangkan kerajaan negeri Johor.

Muhyiddin ketika itu mendakwa dia tidak menarik balik sokongan kepada penyandang menteri besar Johor Hasni Mohammad kerana memikirkan tentang kepentingan rakyat.

Bersatu akan bertanding pada pilihan raya negeri Johor bersama PAS dan Gerakan atas tiket Perikatan Nasional dan Muhyiddin berkata rundingan kerusi antara ketiga-tiga parti itu akan dimuktamadkan esok.

“Ada dua atau tiga kerusi bertindih dengan Gerakan yang perlu diselesaikan,” kata pengerusi PN itu.

Pada masa sama, dia berkata pilihan raya Johor akan menjadi medan kepada pengundi untuk menentukan jika mereka mahu terus dikaitkan dengan pemimpin korup daripada BN, termasuk daripada "kluster mahkamah".

Suruhanjaya Pilihan Raya dijadualkan bermesyuarat pada 9 Februari ini berikutan pembubaran DUN Johor.