Skip to main
Logo Malaysiakini

Majikan disaran benarkan pekerja kerja dari rumah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan menasihatkan majikan untuk membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah sekiranya ia boleh dilakukan, memandangkan gelombang Omicron di Malaysia mula menyaksikan kes harian meningkat.

Sebagai alternatif, pekerja boleh digilirkan untuk mengurangkan bilangan pekerja yang hadir di premis dan membantu memastikan persekitaran kerja yang selamat.

"Dalam mengimbangi antara kesihatan awam dan pemulihan ekonomi, kami ingin menyampaikan saranan - jika boleh dan tidak terlalu menjejaskan - untuk majikan membenarkan pekerja bekerja dari rumah dan mengelakkan pertemuan secara bersemuka buat masa ini.

“Walaupun kami yakin dengan vaksinasi (dalam mengurangkan tahap keseriusan Omicron) dan sebagainya, kami mahu mengurangkan sedikit mobiliti dalam minggu ke hadapan hanya untuk menghalang gelombang Omicron,” kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media di Putrajaya hari ini .

Katanya, nasihat itu dibuat susulan perbincangan dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus pagi ini.

Selain itu, Khairy menggesa majikan untuk mengambil kesempatan daripada insentif Kementerian Kewangan untuk menaik taraf sistem pengudaraan di tempat kerja mereka.

Majikan juga harus membantu pekerja mereka mendapatkan ujian Covid-19, terutamanya jika mengalami simptom Covid-19 dan menghadapi kesukaran mendapatkan ujian sendiri.

Khairy juga menggesa orang ramai untuk memakai pelitup muka berkualiti jika mampu, seperti alat pernafasan yang memenuhi piawaian N95 atau KF94.

Sebagai alternatif, pelitup muka dua lapis juga memberikan perlindungan yang baik. Ini bermakna memakai pelitup muka kain di atas pelitup muka pembedahan pakai buang untuk mengurangkan kecenderungan pelitup muka pembedahan bocor di bahagian sisi.

“Tetapi jika boleh, sudah tentu, majikan harus menyediakan pekerja pelitup muka yang lebih berkualiti.

“Pelitup muka adalah penting; pelitup muka berkualiti banyak membantu dalam mengurangkan penularan,” katanya.

Khairy ditanya sama ada Malaysia akan mengikut langkah AS dalam mengesyorkan alat pernafasan kepada orang awam, dan bukannya mengehadkan penggunaannya kepada pekerja penjagaan kesihatan kerana kebimbangan bekalan.

Tidak seperti pelitup muka pembedahan dan pelitup muka kain, alat pernafasan direka untuk membuat pengedap yang ketat pada muka untuk mengurangkan kebocoran di bahagian sisi. Ini membantu mencegah penularan penyakit melalui aerosol.