Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes rasuah 1MDB: Proses pemilihan juri perbicaraan Roger Ng bermula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Proses pemilihan juri bagi perbicaraan bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng di mahkamah Amerika Syarikat bermula Isnin lalu di New York.

Ia bagi pertuduhan berkomplot dalam pengubahan wang haram melibatkan ratusan juta wang 1MDB dan merasuah pegawai kerajaan Malaysia.

Bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs Malaysia itu mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan berkomplot untuk mengubah wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Goldman membantu penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion, yang dilancarkan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menggalakkan pembangunan ekonomi.

Pihak berkuasa berkata pegawai syarikat dan sekutu mereka menyelewengkan sebahagian wang tersebut untuk berbelanja mewah, manakala pegawai Goldman Sachs memberi rasuah lebih AS$1.6 bilion kepada pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi untuk urus niaga 1MDB.

Pada 2020, Goldman setuju untuk membayar penalti AS$2.9 bilion dan agar unitnya di Malaysia mengakui salah laku jenayah bagi menyelesaikan siasatan oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dan pihak berkuasa lain berhubung peranannya dalam 1MDB.

Pandangan negatif yang kuat

Pada Isnin, Hakim Daerah AS Margo Brodie menyual sejumlah calon juri di mahkamah persekutuan Brooklyn berhubung kemungkinan perkaitan mereka dengan individu atau entiti yang mungkin disebut dalam perbicaraan, dan jika mereka boleh berlaku adil dan tidak berat sebelah.

Beberapa calon juri berkata mereka mempunyai tanggapan negatif yang kuat tentang bank, walaupun tiada yang disingkirkan serta-merta.

Seorang calon juri berkata Goldman telah menjadi pengurus pelaburannya sejak 2007, dan seorang lagi berkata dia bekerja dalam bidang teknologi untuk Goldman selama tujuh tahun sebelum berhenti pada 2017.

Seorang lagi calon juri berkata dia sebelum ini bekerja dalam bidang perbankan pelaburan di Barclays, dan kes 1MDB telah digunakan dalam latihan antipengubahan wang haramnya.

Ketiga-tiga calon juri ini tidak disingkirkan serta-merta.

Pernyataan pembukaan untuk perbicaraan ini dijadual bermula pada hari Isnin, 14 Februari.

Ng telah ditangkap di Malaysia pada November 2018 dan diekstradisi enam bulan kemudian.

Tim Leissner, seorang lagi bekas pegawai Goldman, mengaku bersalah pada 2018 atas peranannya dalam skandal itu. Dia dijadualkan dijatuhkan hukuman pada Mac.

-Reuters

[Baca berita asal]