Skip to main
Logo Malaysiakini

Azmin: Ahli perniagaan berprinsip di Johor perlu tolak kleptokrat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli perniagaan Cina di Johor yang berprinsip perlu bijak memilih dan “menolak kleptokrat” dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Azmin Ali.

Azmin yang juga menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri membuat  gesaan sedemikian dalam sebuah majlis anjuran Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat, malam tdi.

Azmin berkata persatuan perniagaan tempatan telah meminta kementerian untuk membawa lebih ramai pelabur asing.

 Namun, katanya, asas utama untuk pelabur adalah kestabilan kerajaan dan integriti pemimpin.

"Jika sudah bersalah, bukan saya kata, mahkamah dah jatuh hukuman bahawa kamu bersalah dan antara penghakiman yang diberikan oleh hakim adalah orang ini malukan negara, mengapa kita nak sokong pemimpin dan parti seperti ini?

"Anda mahu kami membawa lebih banyak pelaburan ke Johor, anda mahu kami bawa banyak pelaburan ke Batu Pahat. Saya beri aku janji bahawa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) akan bekerja keras.

"Tapi pilihan raya kali ini pilih betul-betul, jangan buat salah," katanya ketika berucap di depan lebih seratus ahli persatuan itu.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama, Azmin dipercayai merujuk bekas perdana menteri yang juga pengerusi Lembaga Penasihat BN Najib Razak.

Pada Disember lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib berhubung sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.

Dalam penghakiman, panel hakim Mahkamah Rayuan antara lain menyifatkan kes tersebut sebagai "memalukan negara".

Azmin seterusnya merayu kepada hadirin  untuk memilih “kerajaan yang kuat dan berwibawa” di peringkat negeri dan persekutuan.

"Anda boleh tentukan masa depan rakyat Johor pada PRN ini. Betul tak? 

“Kuasa di tangan kita, bukan kleptokrat. Kuasa di tangan rakyat Johor," katanya lagi.

[Baca berita asal]