Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN Johor masa untuk buktikan Umno tak dikawal kluster tertentu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali inilah wajar dimanfaatkan oleh Umno untuk memaparkan imej baru parti itu sekali gus menambat kembali keyakinan pengundi.

Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros, berkata PRN itu juga boleh digunakan untuk menepis dakwaan bahawa parti itu dikawal oleh kelompok atau kumpulan tertentu.

"Lebih-lebih lagi apabila banyak pihak yang mendakwa kononya PRN Johor sengaja diadakan untuk memenuhi agenda politik peribadi ‘kluster mahkamah’ yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin utama parti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod 'kluster mahkamah' digunakan secara meluas oleh pelbagai pihak termasuk pihak yang ada berada dalam kerajaan.

Ia merujuk kepada sekumpulan pemimpin kanan Umno yang sedang dibicarakan di mahkamah dengan ada antaranya sudah disabitkan bersalah. Antara tokoh yang dikaitkan dengan gelaran itu ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Pemimpin tertentu dalam PAS dan Bersatu juga berkali-kali menyebut perkataan tersebut termasuk ketika menyatakan rasa kurang senang mereka dengan adanya PRN Johor.

Noor Azleen berkata pucuk pimpinan Umno perlu memaparkan imej baru parti iu serta memberikan gambaran masa depan yang lebih ampuh dan malar segar.

"Peluang ketika PRN ini haruslah dijadikan sebagai sebahagian pendekatan Umno, bukan sahaja dalam berdepan dengan kehendak realiti politik semasa malahdiguna pakai sebagai strategi jangka masa panjang bagi parti mendepani cabaran serta perubahan landskap politik mendatang," katanya.

Mengulas lanjut Nor Azleen berkata, PRN Johor perlu dijadikan kesempatan terbaik untuk Umno menonjolkan bakat-bakat baru yang kini berada di pelbagai peringkat.

"Berdasarkan realiti serta kehendak politik semasa, Umno tidak lagi mampu dengan hanya bersandar kepada retorik perjuangan politik bangsa dan agama semata-mata untuk terus menggamit keyakinan dan kepercayaan rakyat serta pengundi.

"Umno perlu membuka peluang kepada bakat-bakat yang mampu menjadikan ia sebuah parti politik yang bukan sahaja peka, malah berkesan membawa perubahan kepada dasar-dasar awam penting yang memberikan kesan langsung kepada aspek kehidupan rakyat," ujarnya.

Dia yang juga exco Pemuda Umno Malaysia menambah seiring dengan pelaksanaan Undi18, parti itu juga perlu mengambil langkah berani untuk memikat hati dan minda pengundi anak muda.

Justeru katanya, Umno wajar membuka peluang kepada bakat-bakat baharu untuk membina kewibawaan dalam memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan anak muda seperti peluang pekerjaan berkualiti dan kemampuan memiliki rumah.

"Bakat-bakat baru dalam Umno pula perlu berperanan membina kredibiliti parti dengan memperjuangkan isu-isu yang lebih besar dan bersifat universal seperti perubahan iklim, kewujudan kelompok kemiskinan baru, adaptasi teknologi dalam pelbagai aspek kehidupan rakyat dan lain-lain," katanya.