Skip to main
Logo Malaysiakini

Demi lawan 'katak', timbalan pengerusi PKR Johor dijangka tak sertai PRN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah dijangka tidak akan mempertahankan kerusinya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Malaysiakini difahamkan bahawa penyandang kerusi DUN Bukit Batu itu sebaliknya akan diberi tanggungjawab untuk berdepan seorang "katak politik" di peringkat Parlimen.

PKR sedang menyasarkan untuk mencalonkan Puah di kerusi Parlimen Tebrau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong yang menang kerusi itu di ketika bersama PH telah keluar PKR pada Februari tahun lalu untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Choong kemudian bersama-sama menubuhkan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dengan seorang lagi bekas Ahli Parlimen PKR Larry Sng, dan kini merupakan naib pengerusinya.

PBM masih belum memutuskan sama ada untuk menyertai PRN Johor.

Bagaimanapun Choong tidak menolak akan bertanding di kerusi DUN sekiranya PBM memutuskan untuk meletakkan calon.

Steven Choong

Ketika dihubungi, Pua tidak mengesahkan mahupun menafikan perbincangan bahawa PKR mahu dia menentang Choong di Tebrau pada PRU15.

Dia sekadar berkata akan menunggu arahan daripada partinya.

Bagaimanapun, pertembungan antara Puah dan Choong juga bergantung kepada sama ada Choong akan mempertahankan kerusinya.

Puah telah menjadi Adun di Bukit Batu selama dua penggal. DUN tersebut merupakan kerusi majoriti Cina.

Dia kali pertama menang pada PRU 2013 dan berjaya mempertahankannya pada PRU 2018 dengan majoriti 10,057 undi.

Dia juga pernah berkhidmat sebagai exco kerajaan Johor ketika PH mentadbir negeri itu dari 2018 hingga 2020.

Sumber dalaman PKR membayangkan parti itu mungkin meletakkan seorang pemimpin Cina berpengalaman dalam PKR Johor untuk menggantikan Puah di Bukit Batu.

Mengikut struktur parti itu, pemimpin Cina yang kanan dalam PKR Johor ialah naib pengerusinya, Yoong Thau.

Malaysiakini difahamkan PKR akan memuktamadkan senarai calonnya malam ini dan pengumuman mungkin dibuat seawal hujung minggu ini.

DUN Johor secara rasmi dibubarkan pada 23 Jan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pilihan raya negeri lewat petang ini.

[Baca berita asal]