Skip to main
Logo Malaysiakini

Prosiding Grab cabar cadangan denda RM86.77 juta oleh MyCC ditangguh

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Persekutuan menangguhkan pendengaran permohonan Grab untuk mencabar cadangan denda sebanyak RM86.77 juta yang dikenakan terhadap syarikat itu, yang sebelum ini dijadual di Mahkamah Tinggi Isnin depan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf hari ini membenarkan permohonan penangguhan yang dibuat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Pada 19 April tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Grab untuk meneruskan semakan kehakiman yang difailkan terhadap cadangan denda itu.

Ketika pendengaran secara dalam talian menerusi Zoom hari ini, peguam MyCC Gopal Sri Ram memohon penangguhan itu memandangkan badan kawal selia itu belum diberikan keputusan bertulis penuh berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi kebenaran itu.

"Kami perlu lihat bagaimana (keputusan) Mahkamah Rayuan mengendalikan perkara ini," katanya sambil menambah MyCC akan berada dalam kedudukan sukar jika pendengaran pada Isnin depan diteruskan, di saat rayuan pihaknya di Mahkamah Persekutuan belum diputuskan.

Peguam Grab, Malik Imtiaz Sarwar bagaimanapun menolak permohonan itu, dengan hujah Mahkamah Tinggi telah pun menolak permohonan penangguhan yang dibuat MyCC.

Di akhir prosiding hari ini, Rohana memutuskan Mahkamah persekutuan membenarkan penangguhan tersebut sementara menunggu asas keputusan Mahkamah Rayuan diberikan kepada suruhanjaya itu.

"Kami mengarahkan penangguhan sementara semakan kehakiman sementara menunggu permohonan (MyCC di Mahkamah persekutuan)," kata Rohana.

Panel turut dianggotai hakim Mahkamah Persekutuan, Abdul Rahman Sebli dan Mary Lim Thiam Suan.

Pada 3 Oktober 2019, MyCC mencadangkan denda dengan jumlah itu terhadap Grab atas dasar syarikat itu melanggar Seksyen 10 Akta Persaingan 2010 kerana didakwa menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengenakan beberapa klausa sekatan ke atas pemandunya.

Grab Inc serta dua entiti berkaitan, Grabcar Sdn Bhd dan Myteksi Sdn Bhd kemudian memfailkan semakan kehakiman terhadap MyCC.

Grab antara lain memohon untuk perintah certiorari (writ atau perintah di mana mahkamah lebih tinggi menyemak kes yang dibicara di mahkamah lebih rendah) membatalkan cadangan MyCC bertarikh 23 September 2019.

Grab juga memohon pengisytiharan bahawa ketua pegawai eksekutif responden telah bertindak ultra vires (melampaui atau di luar kuasa) berkaitan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 apabila memberikan wawancara yang membawa kepada penerbitan artikel bertajuk “Grab has till Dec 31 to submit written representations to MyCC” dalam akhbat The Edge untuk minggu 18 November hingga 24 November 2019.

Syarikat itu mendakwa sepanjang siasatan MyCC yang bermula pada 3 Disember 2018, suruhanjaya itu tidak menetapkan asas untuk keyakinannya berkenaan bagaimana Grabcar dan Myteksi, secara bersama dikenali sebagai Grab Malaysia, telah melanggar Seksyen 10 Akta Persaingan 2010.

Seksyen 10(1) akta tersebut menyatakan "satu perusahaan dilarang untuk terlibat, sama ada secara sendirian atau kolektif, dalam apa-apa perlakuan yang berupa suatu penyalahgunaan kedudukan dominan dalam mana-mana pasaran bagi barangan atau perkhidmatan."

[Baca berita asal]