Skip to main
Logo Malaysiakini

Muda gantung penerangan Kedah susulan poster rasuah libatkan PH

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggantung jentera penerangannya di Kedah susulan penyiaran poster yang menggambarkan pemimpin pelbagai parti, termasuk Pakatan Harapan (PH), terlibat dengan rasuah.

“Sebagai langkah ke hadapan, saya telah mengambil keputusan untuk menggantung Penerangan Muda Kedah dari sebarang aktiviti berkaitan Muda,” kata ketua penerangannya Muda Luqman Long.

Lewat malam semalam, Muda Kedah melalui Facebook menyiarkan gambar antirasuah dengan logo PH, PKR, BN dan Perikatan Nasional (PN). 

Ia menggambarkan parti-parti itu saling bertukar dokumen dan wang di belakang.

Poster itu bagaimanapun kemudian dipadam.

Poster itu mencetuskan perhatian meluas kerana ia dibuat selepas parti-parti PH baru sahaja memberi laluan kepada Muda di sembilan kerusi dalam pilihan raya Johor 12 Mac nanti.

Dalam kenyataan hari ini, Luqman mengakui tindakan itu menimbulkan salah faham kepada orang ramai serta tidak mematuhi sebarang prinsip yang jelas dalam Muda.

Katanya, status itu juga tidak mendapat kebenaran dan sengaja dibuat dengan niat yang tidak baik.

Mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden itu, Luqman justeru memohon maaf dan bersedia berdepan keputusan dan tindakan disiplin daripada parti.

“Yang baik itu datang dari Tuhan. Yang khilaf itu dari saya,” katanya.