Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Hentikan pemberian AP pengimportan ayam bulat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hari ini, kita meraikan kemenangan penternak ayam. Kerajaan Ismail Sabri akhirnya terpaksa tunduk kepada permintaan penternak dengan mengumumkan subsidi pengeluaran RM0.60 sekilo selama empat bulan untuk mereka.

Cadangan subsidi pengeluaran (output based subsidies) ini telah disarankan oleh PKR sejak 2 Disember 2021 dan sekali lagi pada 5 Feruari 2022. 

Dengan adanya subsidi sedemikian, penternak dijangka boleh mula meningkatkan pengeluaran dan dapat memenuhi permintaan pasaran ayam dalam 30 hari akan datang. 

Dengan berakhirnya Tahun Baru Cina, maka permintaan ayam tidak lagi meruncing. Dan kita jangkakan harga ayam akan kembali stabil.

Maka, tiada keperluan untuk memberi approved permits untuk mengimport ayam bulat dari luar negara.

Maka, PKR ingin mendesak kerajaan menghentikan langkah memberi AP kepada syarikat untuk mengimport ayam bulat. 

Sikap "import lebih mudah" menyebabkan kebergantungan kepada negara luar dan menjejaskan sekuriti makanan negara. Akhirnya industri pertanian negara kita tidak berkembang maju.

Pengimportan makanan merugikan negara. Pengimportan makanan negara mencecah RM55 bilion setahun dan menyebabkan pengaliran mata wang ke luar negara.

Pemberian AP juga membuka ruang kepada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan cepat kaya. Sistem AP selalunya mewujudkan kumpulan "rent seekers" yang mempunyai jalinan politik. 

Selama ini, kerajaan tidak berupaya menghapuskan kumpulan rent seekers ini. Kerajaan tidak harus mewujudkan rent seekers yang baru dalam pemberian AP ayam bulat.


SIM TZE TZIN ialah anggota parlimen Bayan Baru merangkap jurucakap Pertanian dan Komoditi PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.