Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM buat lagi laporan polis ke atas pendedah maklumat Azam Baki

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SPRM membuat satu lagi laporan polis terhadap pendedah maklumat, Lalitha Kunaratnam, yang kini berdepan saman yang dikemukakan oleh ketua pesuruhjaya, badan itu, Azam Baki.

Kali ini, seorang pegawai SPRM mendakwa Lalitha berbohong kepada mahkamah dengan menyatakan bahawa dia adalah penyelidik di Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center).

Pendedah maklumat yang diheret oleh Azam ke mahkamah kerana menulis tentang pemilikan sahamnya dalam beberapa syarikat tersenarai awam, meletakkan huraian kerjanya dalam pernyataan pembelaannya.

Bagaimanapun, SPRM mempertikaikan dakwaan Lalitha dengan mengatakan bahawa dia bukan lagi pekerja Pusat C4 sejak Dis 2020.

Menurut portal berita Free Malaysia Today, satu laporan telah dibuat di balai polis Sentul semalam, mendakwa Lalitha telah berbohong dalam kenyataannya kepada mahkamah.

Pegawai SPRM itu membuat laporan berdasarkan kenyataan yang disiarkan oleh Pusat C4 bulan lalu yang berkata Lalitha telah "berhenti menjadi pekerja dengan Pusat C4 sejak Dis 2020".

Malaysiakini juga telah menghubungi Lalitha, yang enggan mengulas mengenai dakwaan itu, dan berkata peguamnya akan mengendalikan perkara berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan polis telah menerima laporan yang dibuat oleh pegawai SPRM tersebut, tetapi enggan mengulas lanjut.

Portal MalaysiaNow pula melaporkan, seorang pegawai SPRM bernama Mohan Munusamy, yang berpangkat penolong pesuruhjaya kanan, mendakwa fakta Lalitha adalah tidak betul dan memberi bayangan bahawa pegawai SPRM terlibat dalam rasuah hanya kerana mereka terlibat dalam perniagaan.

"Saya sedar bahawa tidak menjadi satu kesalahan bagi pegawai kanan badan penguatkuasa undang-undang untuk memiliki saham atau memegang jawatan pengarah mana-mana syarikat, kerana ia sama sekali tidak menyalahi undang-undang Malaysia," kata Mohan, seperti dipetik portal berita itu.

Azam menyaman Lalitha berhubung dua artikel aktivis itu yang didakwa memfitnahnya iaitu yang bertajuk Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Bahagian 1) dan Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Bahagian Dua) yang pertama kali diterbitkan dalam INS pada 26 Okt sebelum kedua-dua artikel diterbitkan semula pada 15 Dis tahun lalu.

Azam mendapat perhatian berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015 bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad turun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.

Azam juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pemilikan saham pada 2015 dan 2016 itu telah menimbulkan persoalan sama ada ia berwajaran dengan pendapatannya sebagai penjawat awam.

Pada sidang media khas pada 5 Jan lalu, Azam tidak mempertikaikan pemilikan saham tersebut sebaliknya mendakwa ia dibeli atas namanya oleh adik lelakinya.

Kira-kira seminggu kemudian, pada 18 Jan, Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan bahawa siasatannya ke atas kes itu telah selesai dan tidak dapat “secara muktamad” memutuskan berlaku perlanggaran di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda).

Bagaimanapun, susulan bidasan pelbagai pihak, SC tampil menjelaskan bahawa ia mendapati bahawa Azam mempunyai "kawalan" ke atas akaun dagangannya sendiri.

[Baca berita penuh]