Skip to main
Logo Malaysiakini

Kantoi seludup 20 pendatang asing guna bas persiaran

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Taktik licik sebuah sindiket penyeludup yang cuba membawa 20 pendatang asing tanpa izin warga Myanmar menggunakan sebuah bas persiaran gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila berjaya dicekup dalam kejadian tengah malam, Selasa lalu.

Suspek berusia 15 hingga 30 tahun ditahan pada jam 12.30 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) di hadapan sebuah pasaraya di Tanah Merah, Kelantan selepas mengejar bas terbabit sejauh 30 kilometer.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Mannadzar Nasib berkata pihaknya mengesan sebuah bas persiaran dan kereta jenis BMW yang disyaki tonto di Pohon Tanjung, Rantau Panjang.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bas dan kereta terbabit memecut laju dan cuba melanggar anggotanya.

"Sebaik tiba di jalan menghala ke Tanah Merah, kereta tonto berhenti dan apabila anggota keluar untuk pemeriksaan, pemandu kereta terbabit cuba melanggar polis menyebabkan kita terpaksa melepaskan dua das tembakan.

"Namun, pemandu kereta terbabit terus memecut laju dan terbabas sebelum melarikan diri, manakala bas yang dinaiki Pati berjaya dipintas di hadapan sebuah pasaraya.

"Hasil pemeriksaan dalam bas tersebut mendapati terdapat 20 warga Myanmar. Turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 30-an iaitu pemandu bas lelaki dan tekong darat," katanya pada sidang media di Pasir Mas, hari ini.

Mannadzar berkata, sindiket terbabit dipercayai menyewa khas bas persiaran itu untuk membawa pendatang berkenaan ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, warga asing tersebut didapati masuk ke negara ini menggunakan pengkalan haram di Pohon Tanjung sebelum cuba menaiki bas menuju ke Kuala Lumpur.

"Taktik licik sindiket ini menggunakan bas persiaran dari pengkalan haram adalah modus operandi baru bagi mengaburi pihak berkuasa berbanding sebelum ini kebanyakan mereka menggunakan kenderaan biasa.

"Kesemua Pati disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, manakala tekong terbabit disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

Tambahnya, bas yang digunakan itu turut dirampas dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan susulan.