Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerusi Muhyiddin antara rebutan PKR-Muda

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR bersedia memberikan laluan di tiga kerusi kepada Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Bagaimanapun, kerusi-kerusi itu masih tidak diumumkan, dipercayai kerana masih tiada kesepakatan berkaitan hal itu.

Gambir, yang disandang Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, dikatakan antara kerusi yang menjadi rebutan.

Muda bersetuju tidak bertanding di kerusi yang ditandingi PKR dalam PRU14.

Justeru mereka hanya dapat berunding di kerusi-kerusi Bersatu yang diperuntukkan untuk PKR. 

Bersatu, dahulunya sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH), akan bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) - gabungan bersama PAS dan Gerakan.

Selain Gambir, Malaysiakini difahamkan bahawa Muda berminat bertanding di Larkin.

Dalam pilihan raya umum lalu, Muhyiddin menang di Gambir dengan majoriti 3,088 undi.

Bersatu juga menang di Larkin dengan majoriti 8,590 undi melalui calonnya Mohd Izhar Ahmad. Izhar keluar Bersatu bulan lepas dan mengisyhtiharkan sokongan kepada Umno.

Kedua-dua kerusi itu kerusi majoriti Melayu. Muhyiddin dan Mohd Izhar tidak akan mempertahankan kerusi itu.

Sementara itu, sumber PKR yang mengetahui rundingan itu berkata tuntutan Muda di kerusi boleh menang itu sukar diterima.

Katanya, DAP dan Amanah telah pun menyerahkan kerusi boleh menang kepada Muda.

Daripada enam kerusi diberikan DAP dan Amanah, empat daripadanya dimenangi PH melalui Bersatu sebelum ini.

“Agak sukar nak terima… mereka sudah ada kerusi ‘pasti menang’ dan dua lagi dengan peluang besar untuk menang,” kata sumber.

Kerusi “pasti menang” dimaksudkan itu ialah Puteri Wangsa, yang dipertahankan pembangkang sejak 2013 melalui PAS dan Bersatu.

Pemimpin PKR Johor telah menyatakan perasaan tidak puas hati mereka dengan tindakan Amanah memberikan kerusi itu kepada Muda.

Sementara itu, difahamkan PKR bersedia menyerahkan kerusi Sri Medan, Semarang dan Benut kepada Muda.

PH, melalui Bersatu, kalah teruk di situ dalam pilihan raya umum lalu.

Muda bagaimanapun difahamkan hanya bersedia bertanding di satu daripada kerusi itu. 

Malaysiakini telah menghubungi Muda untuk mendapatkan pengesahan.

Kedua-dua parti masih mempunyai tarikh sehingga penamaan calon 26 Februari untuk menyelesaikan kebuntuan pembahagian kerusi.

Tarikh pengundian jatuh pada 12 Mac.

[Baca berita asal]