Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas duta Bangladesh jadi pelarian ditahan PDRM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang bekas diplomat Bangladesh yang tingal di negara ini sebagai seorang pelarian sejak lebih sedekad lalu, ditahan polis di Ampang semalam.

Penahanan itu mengundang kebimbangan Persekutuan Antarabangsa Untuk Hak Asasi Manusia (FIDH) jika individu terbabit akan dihantar pulang ke negara asalnya dan berdepan pendakwaan di situ.

Pengarah FIDH Asia semalam menciap, Mohamed Khairuzzaman merupakan bekas duta Bangladesh di Malaysia dan diiktiraf oleh Suruhanjaya Tinggi Pelarian PBB (UNHCR) sebagai seorang pelarian.

"Dia berdepan risiko tidak terelak untuk dihantar pulang ke Bangladesh dan kemungkinan besar berdepan dengan pendakwaan," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk mendapatkan komen mereka mengenai isu berkenaan.

Sebelum ini akhbar harian berpangkalan di Dhaka, New Age, berkata bekas diplomat berkenaan didakwa terlibat dalam pembunuhan beberapa tokoh Bangladesh iaitu Syed Nazrul Islam, Tajuddin Ahmed, Mansur Ali dan AHM Quamruzzaman.

Kejadian itu didakwa berlaku di Penjara Pusat Dhaka pada 3 Nov 1975.

Bagaimanapun Mohamed, 70, kemudian dibebaskan oleh mahkamah Bangladesh pada 2004.

Dia dilantik menjadi duta Bangladesh ke Myanmar pada 2005 sebelum berkhidmat sebagai diplomat negaranya di Malaysia dua tahun kemudian.

Apabila Liga Awami menjadi kerajaan pada 2009, Mohamed diarah pulang pada tahun berkenaan, namun dia melanggar arahan berkenaan. Sebalik, lapor New Age, Mohamed terus berada di Malaysia sebagai pelarian melalui mekanisme UNHCR.

Liga Awami kembali menjadi kerajaan di Bangladesh selepas negara itu mengadakan pilihan raya umum pada Dis 2018.

[Baca berita asal]