Skip to main
Logo Malaysiakini

PBM umum bertanding di dua kerusi Johor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengumumkan akan menyertai PRN Johor pada pertengahan bulan depan dengan meletakkan calon di dua kerusi yang dirasakan mereka berpotensi untuk dimenangi.

Menurut ketua penerangannya, Zakaria Abdul Hamid, PRN Johor merupakan medan terbaik untuk mereka memperkenalkan agenda The Great Reset 2030 yang dibawa PBM.

Bagaimanapun, parti dikaitkan dengan bekas pemimpin PKR yang menyertai Bersatu itu belum mengumumkan nama calon dan nama kerusi yang akan ditandingi mereka.

“PBM akan mengumumkan kerusi yang akan ditandingi dan nama calon sebelum hari penamaan calon pada 26 Feb ini.

“[...] Kami berharap akan dapat memberikan saingan yang sihat kepada parti-parti politik lain yang bertanding di dalam PRN pada kali ini, dengan iltizam bagi mengukuhkan aspirasi demokrasi di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Agenda The Great Reset 2030 yang disebut Pengerusi Perbadanan Filem Nasional (Finas) itu terdiri daripada enam tunjang utama PBM, iaitu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan penglibatan golongan muda, memperkasa peranan wanita, membangunkan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi, serta meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia.

Ketika dihubungi, Presiden PBM Larry Sng mengunci mulut tentang kerusi yang berpotensi untuk mereka di Johor.

Ada kerusi di parlimen

PBM kebanyakannya dianggotai oleh bekas ahli PKR yang sehaluan dengan Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Bahkan seperti dua bekas pemimpin PKR itu, sebahagian daripada mereka turut menyertai Bersatu sebelum menyertai PBM.

Pada Dis lalu, bekas setiausaha politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad, mengumumkan keluar dari Bersatu untuk menyertai PBM dan membawa bersama 53,000 ahli Penggerak - sebuah NGO yang juga dikaitkan dengan Zuraida.

PBM sememangnya sudah mempunyai tapak di Johor dengan perwakilan ahli parlimen Tebrau, Steven Choong - yang keluar PKR untuk menjadi mesra Perikatan Nasional (PN) pada Feb tahun lalu - yang kini menjadi naib presiden parti terbabit.

Zuraida Kamaruddin

Di bawah Tebrau ada dua kerusi DUN, iaitu Puteri Wangsa dan Tiram. Tiram merupakan kerusi PKR, manakala Muda akan berentap di kerusi Puteri Wangsa.

PBM sebelum ini menyuarakan hasrat untuk menyertai BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15, meskipun setakat ini masih belum jelas apakah BN ada memberi maklum balas terhadap hasrat yang dikemukakan itu.

Kini, khabar angin bertiup berkenaan kedudukan Zuraida dalam Bersatu apabila dia dilaporkan disingkir daripada kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, dan laporan tentang perbincangan untuk memecatnya.

Zuraida sendiri dilaporkan tidak menolak untuk mempertimbangkan jika ada tawaran daripada parti tersebut.