Skip to main
Logo Malaysiakini

ICR: Dos penggalak heterologous tawar lebih perlindungan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dos penggalak heterologous (vaksinasi primer Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer) menawarkan lebih perlindungan terhadap jangkitan berbanding dos penggalak homologous (tiga dos vaksin Sinovac) dalam kalangan penerima Sinovac, menurut Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Kementerian Kesihatan (KKM).

Menyangkal dakwaan Pharmaniaga Berhad berhubung keberkesanan lebih rendah penggalak heterologous dalam kalangan penerima vaksinasi primer Sinovac terhadap Omicron, ICR berkata fakta dan bukti sedia ada telah disalah tafsir.

“Di peringkat global, terdapat bukti yang konsisten dan baru muncul bahawa vaksinasi penggalak heterologous menghasilkan tindak balas imun yang lebih kuat dan efektif berbanding penggalak homologous bagi penerima primer vaksin tidak aktif (Sinovac).

“Selari dengan bukti baru muncul dan gelombang Omicron yang sedang berlaku, KKM terus mengesyorkan Pfizer atau AstraZeneca sebagai dos penggalak pilihan untuk penerima vaksin Sinovac,” menurut ICR dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyebut di Malaysia, kajian Program Keberkesanan Dunia Sebenar Vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menggunakan data dari 21 Nov 2021 hingga 7 Jan 2022 bagi membandingkan kadar jangkitan dalam kalangan penerima dos penggalak dan individu yang hanya melengkapkan vaksinasi primer. 

“Analisis itu adalah berdasarkan data sebenar iaitu merangkumi 13 juta penduduk yang telah menerima vaksinasi primer Pfizer dan Sinovac.

“Selepas mengambil kira perancu, mereka yang baru saja menerima dos penggalak berdepan kemungkinan sekurang-kurangnya 90 peratus untuk tidak dijangkiti COVID-19 berbanding individu yang hanya mengambil dua dos vaksin,” katanya.

Merujuk kajian yang dijalankan di beberapa negara sebagai contoh, ICR turut menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai keberkesanan dos penggalak heterologous bagi vaksinasi primer Sinovac.

“Kajian yang dijalankan di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong menunjukkan bahawa dua dos Sinovac disusuli dos penggalak Pfizer heterologous berupaya meningkatkan paras antibodi peneutralan terhadap varian Omicron selepas tiga hingga lima minggu menerima dos penggalak.

“Bagaimanapun, tiga dos Sinovac gagal untuk mengeluarkan antibodi peneutralan yang bertindak balas terhadap Omicron bagi kebanyakan penerima.

“Dalam satu lagi kajian di Brazil, dos penggalak heterologous (dengan AstraZeneca, Janssen dan Pfizer) menyaksikan tindak balas imun yang lebih baik berbanding dos penggalak homologous dengan dos penggalak Sinovac sekali gus berpotensi memberi perlindungan lebih utuh,” katanya.

Menurut ICR, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan menyebut rejim dos penggalak homologous mahupun heterologous secara imunologinya adalah berkesan.

“Satu pracetak daripada kajian di Chile mendapati keberkesanan vaksin yang diubah suai ke atas jangkitan COVID-19 bergejala adalah 78.8 peratus bagi tiga dos Sinovac, 96.5 peratus bagi dos penggalak Pfizer (menyusuli dua dos Sinovac) dan 93.2 peratus bagi dos penggalak AstraZeneca (menyusuli dua dos Sinovac).

-Bernama