Skip to main
Logo Malaysiakini

Hadapi 'misi mustahil', Pejuang imbas kejayaan PRU14

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Dengan berbaki sebulan sebelum hari mengundi PRN Johor, kancah politik terus hangat, daripada rundingan kerusi antara PH dan Muda sehinggalah dengan persaingan BN-PN.

Pejuang pula tidak terlalu diperhatikan walaupun parti tersebut turut memasang cita-cita besar. 

Parti yang baru berusia tujuh bulan itu merancang untuk bertanding lebih banyak kerusi daripada mana-mana parti pembangkang yang lain - iaitu 42 kerusi, jumlah sama yang disasarkan Umno, yang menjadi kuasa dominan di johor. 

Beberapa pihak melihat Pejuang cuba menyasarkan lebih daripada apa yang ia mampu, tetapi parti itu tetap bertekad untuk meneruskan hasratnya walau ada yang ragu dengan mereka.

Kira-kira 300 ahli Pejuang dari seluruh negara turun ke Skudai, Johor malam tadi bagi melancarkan jentera pilihan raya parti itu.

Mengakui ia tampak mustahil untuk menentang pesaing politik yang jauh lebih mantap, Ketua  Pejuang Johor Sharuddin Md Salleh mengingatkan anggotanya bahawa mereka telah melakukannya sebelum ini.

“(Kita) parti baru, kecil berbanding parti lain. Kita mungkin masih ingat masa PRU14, kita (ketika itu Bersatu) tak ada jentera, banyak cawangan, banyak ahli, malah tak ada kuasa, yang ada hanya cita-cita yang tinggi.

“Namun, ingat pada PRU14, kita sudah buktikan cita-cita yang dianggap mustahil berjaya dan akhirnya dengan menewaskan Umno di Johor ini,” katanya. 

Shahruddin merujuk kepada pengalaman mereka ketika berada dalam Bersatu, menjatuhkan Umno dalam PRU 2018 walaupun parti itu baru berusia kurang dua tahun.

Pejuang adalah parti serpihan Bersatu. Ia ditubuhkan sejumlah pemimpinnya selepas Bersatu menjatuhkan kerajaan PH untuk membentuk kerajaan baru bersama Umno.

Tetapi keadaan sekarang berbeza, kerana Pejuang tanpa sekutu.

Bergerak secara solo 

Ia enggan bekerjasama dengan PH, menuduh gabungan itu telah bersengkongkol dengan kerajaan selepas memeterai memorandum persefahaman (MOU) sebelum ini. 

“Saya tak yakin dengan khemah besar kerana kita tak boleh dilihat bersekongkol dengan kerajaan ini, di mana ada kleptokrat di situ. 

“Kami tak ada…bermaksud kita tak boleh tandatangani MOU dengan kerajaan BN ini. Atas sebab itu kami lihat lebih baik kita solo,” kata Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir kepada sidang media selepas pelancaran tersebut malam tadi. 

PH menegaskan bahawa perjanjiannya dengan kerajaan yang telah melakukan rampasan kuasa terhadapnya adalah perlu, untuk mengekalkan kestabilan politik di tengah pandemik Covid-19.

Selain meletakkan Pejuang sebagai parti pembangkang sebenar - yang tiada kaitan dengan Umno - pemimpin mereka berusaha untuk menarik perhatian penyokong dengan mengimbas semula legasi bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam menjadikan Malaysia sebagai ‘Harimau Asia.’

Mahathir juga merupakan Pengerusi Pejuang.

Ia merupakan satu legasi yang menurut mereka semakin hilang akibat kleptokrat yang merosakkan negara. 

Menurut Setiausaha Agung Pejuang Marzuki Yahya, semasa negara mencapai kemerdekaan, tiada KLCC ketika itu kebanyakan rakyat merupakan nelayan dan petani, tetapi pemimpin-pemimpin ketika itu ikhlas berjuang membantu rakyat sehingga negara digelar sebagai Harimau Asia. 

“Malaysia berjaya mencapai merdeka 64 tahun, dah pasti pelbagai ujian cabaran kita lalui…dari negara yang dikenali sebagai negara pertanian - pada saat mencapai merdeka tiada KLCC, menara berkembar, ramai yang bekerja sebagai petani, nelayan dan pesawah.

“Tapi kerana merdeka, lahir pemimpin-pemimpin yang ada keikhlasan untuk membantu bangsa berdiri maju tinggi dengan bangsa-bangsa lain sehingga Malaysia menjadi harimau Asia, mempunyai pembangunan ekonomi yang terpantas di rantau Asia. 

“Kita bangga katakan bahawa kita rakyat Malaysia. Tapi dalam membina negara, kita pasti akan lalui pelbagai proses, cabaran, seperti yang kita lihat bagaimana harimau Asia beralih kepada sebuah negara kleptokrasi..Hanya dalam tempoh 10 tahun saja,” kata Marzuki kepada hadirin.

Naratif rasuah dan kemerosotan ekonomi yang digunakan Pejuang hampir sama dengan parti pembangkang lain. Namun disebalik persamaan itu, mereka dilihat gagal mencapai titik temu.

Luka lama 

Apa yang dapat dilihat, luka lama masih belum sembuh dan sikap menuding jari berhubung siapa yang harus dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan atas kejatuhan pimpinan kerajaan PH sedikit sebanyak disuarakan dalam ucapan Mukhriz. 

“Tentu juga bukan pihak yang suka menuding jari kepada pihak lain kerana cita-cita jadi perdana menteri tak kesampaian. Asyik-asyik salahkan Tun, dia semua betul, sampai sudahnya angka yang dijanjikan tak menjelma. 

“Itu pun katanya kerana Tun mungkir janji,” kata Mukhriz.

Dia tidak menyebut sebarang nama tetapi dipercayai merujuk kepada Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

Selepas berjaya menawan Putrajaya, kerajaan PH berjanji untuk mengadakan reformasi dan membendung salah guna kuasa BN yang terpalit dengan dakwaan rasuah tetapi pada masa sama, ia turut dibelenggu ketidakstabilan kerana sikap saling tidak percaya antara Anwar dan Mahathir. 

PRN Johor pada 12 Mac ini akan menjadi ujian kepada Pejuang menunjukkan penerimaan rakyat terhadap parti itu. 

Sebanyak 56 kawasan dalam DUN Johor akan bertanding. Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari.  

[Baca berita asal]