Skip to main
Logo Malaysiakini

Hadi kecam dakyah anti-Taliban

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang mengecam dakyah anti-Taliban dan menyifatkan apa yang berlaku di Afghanistan sebagai "ujian kepada umat Islam pada zaman kini, sehingga mendedahkan keimanan masing-masing."

"Sekurang-kurangnya semangat persaudaraan yang berlandaskan iman yang mengikat umat laksana satu jasad, apabila salah satu anggotanya sakit, maka seluruh anggota jasad yang lain turut merasainya," katanya pada ruangan Minda Presiden terbit di media rasmi PAS Harakahdaily hari ini.

Baru-baru ini di Qatar, Abdul Hadi bertemu wakil kerajaan Taliban di Afghanistan serta menyatakan sokongan dan komitmen Malaysia untuk memberikan bantuan ke negara itu.

Namun, Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Salahuddin Ayub mengkritik tindakan Abdul Hadi itu sebagai "terburu-buru" dan dilihat mendahului kabinet atau perdana menteri semasa membuat pengumuman tersebut, sedangkan kerajaan belum secara rasmi mengiktiraf pimpinan Taliban di Afghanistan.

Pun begitu, pegawai daripada pejabat duta khas kerajaan ke Timur Tengah, Syahir Sulaiman tampil menjelaskan mengenai sesi pertemuan Abdul Hadi dengan wakil Taliban.

Dialog itu, kata Syahir disusun oleh Kementerian Luar Negeri (Mofa) di Qatar atas permintaan pejabat duta khas.

Dia berkata Abdul Hadi bertemu wakil Taliban bukanlah bermaksud satu “pengiktirafan” kepada kerajaan tersebut.

Sementara itu, presiden PAS itu juga mempertahankan tuduhan yang dilemparkan terhadap pemerintahan Taliban, antaranya dakwaan ia menghalang pendidikan golongan wanita.

"Adakah halangan itu termasuk hak untuk mempelajari fardu ‘ain? Pelajaran yang wajib untuk mengenal Tuhan, beribadat kepada-Nya, berakhlak mulia, makan dan minum secara halal serta berpakaian secara Islam dengan segala adabnya.

"Mungkin kepada kalangan musuh Islam, perkara-perkara tersebut bukanlah sebahagian daripada ilmu," jelasnya lagi.

Dalam hal ini, presiden PAS itu membangkitkan persoalan mengapa Afghanistan ditakuti walhal Israel dinormalisasi?

"Adapun rakyat Afghanistan yang bersenjata kecil yang menembak tentera penceroboh bagi mempertahankan agama, bangsa dan tanah airnya pula, dilabel sebagai pengganas.

"Perjuangan rakyat Afghanistan yang memerdekakan tanah air mereka daripada penjajah yang datang menceroboh dan menakluk negara mereka, tidak diterima.

"Hal ini demikian kerana, mereka telah mengisytiharkan Islam sebagai dasar dan sistem negaranya," katanya

Menurut Abdul Hadi, sekiranya bukan Islam yang menjadi dasar negara itu sudah pasti boleh diterima walau apa sahaja dasar yang lain, sama ada liberal kapitalis sehinggalah komunis dan diktator.

"Walau bagaimanapun, jenama Islam wajib ditolak sekalipun melalui proses dalam kerangka sistem demokrasi.

"Negara haram Israel ditubuhkan setelah tanah dirompak daripada penduduk asalnya di bumi Palestin. Haramnya negara Israel masih boleh diadakan normalisasi.

"Bahkan, ramai yang menjadi syaitan bisu, walaupun negaranya ditegakkan dengan cara menghalau penduduk asal dengan tindakan yang paling ganas," katanya lagi.