Skip to main
Logo Malaysiakini

Pertemuan Hadi-Taliban bukan isu, kata pengkaji

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengkaji melihat pertemuan Abdul Hadi Awang dengan wakil Taliban di Qatar baru-baru ini tidak akan menjadi konflik sama ada Putrajaya mengiktiraf kerajaan baru Afghanistan atau tidak.

Hal itu kerana, kata Pengarah Institut Kajian Strategi Malaysia (MyRISS) Mohd Mizan Aslam, pertemuan seperti itu juga dilakukan wakil kerajaan lain termasuk Sweden, Amerika Syarikat, Russia dan China.

Bahkan kata Mohd Mizan, pertemuan dilakukan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu sebagai sangat wajar dan perlu demi kebaikan Afghanistan.

Pada masa sama katanya ia juga tidak memberi maksud pengiktirafan Malaysia kepada kerajaan baru Afghanistan itu.

"Pertemuan itu saya lihat wajar sebagai proses membantu dan memberikan sokongan semampu mungkin untuk solidariti Afghanistan.

"Kita harus bersikap adil dalam melihat situasi di Afghanistan apabila sumber kewangan dibekukan AS menyebabkan kakitangan kerajaan termasuk keselamatan tidak mendapat sumber kewangan termasuk bajet operasi dan emolumen.

"Malah kerajaan Afghanistan seumpama lumpuh dan gagal melakukan sebarang proses pemulihan, pembangunan ekonomi, transaksi perbankan, malah urusan pentadbiran kerajaan Afghanistan amat-amat terjejas," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pengkaji geopolitik Afghanistan itu berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi yang timbul selepas pertemuan Abdul Hadi dengan pimpinan Taliban, baru-baru ini.

Terdahulu, Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Salahuddin Ayub menyifatkan kenyataan presiden PAS untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada kerajaan Taliban sebagai terburu-buru.

Malah, Salahuddin berkata Abdul Hadi juga dilihat mendahului kabinet atau perdana menteri semasa membuat pengumuman tersebut, sedangkan kerajaan belum secara rasmi mengiktiraf pimpinan Taliban di Afghanistan.

Elok keluar kenyataan rasmi

Susulan itu pegawai kepada Abdul Hadi menegaskan pertemuan tersebut merupakan sesi dialog yang disusun oleh Kementerian Luar di Qatar atas permintaan pejabat duta khas, namun ia bukanlah bermaksud “pengiktirafan” kepada kerajaan tersebut.

Mohd Mizan berkata, status Abdul Hadi sebagai duta khas Asia membolehkan ahli parlimen Marang itu melakukan perjumpaan dan perbincangan dalam proses untuk mengiktiraf Afghanistan.

"Tetapi pengiktirafan sebenar (rasmi) perlu dilakukan oleh Wisma Putra yang mempunyai autoriti sebenar.

"Justeru dalam keadaan ini juga, saya berpandangan perdana menteri perlu memberikan kenyataan rasmi berkaitan dengan pendirian Malaysia terhadap kerajaan Taliban," jelasnya.

Tambah Mohd Mizan, kenyataan yang dilakukan oleh mana-mana pihak sekali pun tidak boleh mengatasi kenyataan rasmi kerajaan dan Wisma Putra.

Katanya setakat ini kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan kerajaan Malaysia berkaitan kerajaan Taliban adalah bersifat individual, sama ada dilakukan oleh ahli parlimen, menteri atau pun duta.

Justeru katanya ia lebih kepada pendirian peribadi mereka.

"Kecualilah kenyataan tersebut dikeluarkan secara rasmi oleh Wisma Putra bagi pihak kerajaan Malaysia.

"Selalunya ia akan diikuti dalam bentuk memo bertulis atau nota diplomatik yang akan dihantar kepada kedutaan, pertubuhan dan kerajaan lain bagi menjelaskan pendirian Malaysia terhadap isu Taliban ini.

"Jadi dalam keadaan ini saya melihat kerajaan Malaysia perlu membuat kenyataan rasmi berkaitan isu kerajaan Afghanistan sebagai sumber rasmi yang akan diambil (cited) oleh mana-mana pihak di seluruh dunia," katanya.