Cukupkah kemajmukan sajian Muda?
Parti politik berteraskan belia, Muda yang meskipun baru didaftarkan tiga bulan lalu tetapi majlis pelancarannya malam tadi tidak menggambarkan pertubuhan sedemikian.
Pelancaran di pusat persidangan di Kerinchi, Kuala Lumpur semalam bukan sahaja dihadiri tokoh kanan parti pembangkang tetapi juga diplomat dari Singapura, AS, UK, Perancis dan Kesatuan Eropah.
Turut hadir Presiden Warisan Shafie Apdal, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Setiausaha Agung DAP Teresa Kok dan juga wakil Parti Sains yang enggan diluluskan pendaftarannya oleh kerajaan.
Paling ketara tidak hadir pada majlis itu ialah wakil PKR.
"Untuk Muda menjadi parti masa depan kita perlu memastikan kita membina hubungan yang kukuh dan menggerunkan dengan rakan kongsi antarabangsa kita.
"Yakinlah, kerajaan pimpinan Muda akan menjadi kerajaan yang sangat telus, berintegriti dan mengamalkan kesederhanaan dan berbilang kaum," kata Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman.
Pada majlis itu, Muda membawa mesej kemajmukan yang bukan sahaja mengikut garis bangsa dan agama yang tipikal dalam politik Malaysia tetapi juga pengalaman, latar belakang dan sosio-ekonomi.
Syed Saddiq turut menekankan kepelbagaian profesion dalam barisan kepimpinan partinya termasuk doktor muda, petani, dan aktivis.
"Muda mestilah parti politik paling berbilang kaum, agama, pelbagai dan sederhana di Malaysia," katanya.
Ahli Parlimen Muar itu juga mengucapkan terima kasih atas sokongan Warisan, Amanah, DAP dan Parti Sains, serta PKR walaupun parti itu tidak hadir, atas sokongan mereka.
Walaupun mesej Muda mungkin menarik minat pengundi progresif, namun parti itu berdepan sistem politik yang telah lama berakar umbi dengan memanfaatkan kaum dan agama.
Setiausaha Agung Muda Amira Aisya Abd Aziz mengingatkan 200 ahli dan pemimpin parti itu pada majlis pelancarannya malam tadi mengenai keperluan untuk mempunyai semangat juang dan sentiasa turun padang.
Katanya, Muda mestilah menjadi sebuah parti politik yang berorientasikan politik baru dan matang berdasarkan perkhidmatan dan dasar.
"Saya cabar anda semua turun padang dan berjumpa rakyat. Beritahu rakyat apa itu Muda, dengar apa yang rakyat mahu dan apa itu politik baru.
"Apabila ada isu, kita perlu menjadi orang pertama yang memperjuangkan hak rakyat," katanya.
Amira berkata parti itu telah turun padang sejak tahun 2020 walaupun baru didaftarkan pada Dis tahun lalu, ini termasuk membantu pelajar universiti yang terkandas semasa pandemik Covid-19 dan banjir baru-baru ini yang memusnahkan beberapa bahagian negara.
Keahlian Muda kira-kira 76,000 orang, walaupun mengagumkan bagi sebuah parti baru tetapi masih kerdil apabila dibandingkan dengan Umno yang mempunyai kira-kira 3.3 juta ahli dan PAS dengan satu juta ahli.
Menariknya, Muda mendakwa 92 peratus ahlinya tidak pernah menyertai parti politik sebelum ini.
Barisan kepimpinan Muda yang baru adalah seperti berikut:
Presiden: Syed Saddiq Abdul Rahman
Naib Presiden:
Dr Thanussha Francis Xavier
Teo Lee Ken
Shahrizal Denci
Zaidel Baharuddin
Radzi Tajuddin
Setiausaha Agung: Amira Aisya Abd Aziz
Bendahari Agung: Tarmizi Anuwar
Ketua Penerangan: Luqman Long
Ahli jawatankuasa eksekutif pusat:
Amir Hadi
Beatrice Chin
Dr Mathen Nair
Ismail Nasaruddin
Lim Wei Jiet
Nurul Rifayah Muhammad Iqbal
Dian Lee Cheng Ling
Khairil Zulfadhli
Mifzal Muhammad
Warence Mudin
Afiqah Zulkifli
Ainie Haziqah
Aisyah Hanah
Ketua-ketua negeri:
Johor: Mohd Azrol
Melaka: Yosh Wong
Negeri Sembilan: Eric Low
Selangor: Al Hafiz Ikhwan
Pahang: M Malani
Perak: Mutalib Uthman
Kedah: Faqrul Asyraf
Pulau Pinang: Jazz Tan
Kelantan: Badzlan Bakar
Terengganu: Asyrul Malek
Ketua-ketua wilayah:
Wilayah Persekutuan: Taufiq Zarak
Sabah: Amos Thien
Sarawak: Jeffrey Ngui
Perlis satu-satunya negeri yang masih tiada cawangan rasmi Muda.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai